Dakwa gaji dipotong RM300

 Persatuan Bola Sepak Perlis
Persatuan Bola Sepak Perlis
A
A
A

KEMELUT melanda Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) memasuki fasa baharu apabila pemain yang tidak dibayar gaji mengancam membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana gaji mereka dipotong RM300 seorang bagi membayar gaji jurulatih pada Mac 2018.

Mereka mendakwa gaji 18 pemain bagi bulan tersebut dipotong kerana persatuan tidak mempunyai wang mencukupi membayar gaji jurulatih.

Ketua pasukan, Ezzrul Ikmanizar Abdul Rahman, 30, yang membuat pendedahan itu berkata mereka sengaja tidak mendedahkan perkara itu lebih awal kerana mahu isu gaji 27 pemain dan kakitangan PFA tujuh bulan diselesaikan secara elok.

"Oleh kerana PFA mahu mengambil tindakan undang-undang kerana kami mendedahkan salah laku mereka (pengurusan terdahulu) kepada media mengenai gaji tertunggak, jadi kami pula tidak akan teragak-agak membuat aduan kepada SPRM.

"Malah caruman kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga tidak dibuat sejak Januari tahun lepas sebelum ísu tunggakan gaji didedahkan,” katanya di sini, semalam.

Menurut Ezzrul Ikmanizar laporan yang akan dibuat kepada SPRM bertujuan supaya agensi itu boleh menyiasat kemungkinan wang persatuan disalahgunakan kerana gaji pemain dipotong tetapi caruman kepada KWSP tidak dibuat.

Semalam, PFA dalam satu kenyataan bercadang mengambil tindakan undang-undang setelah para pemain mendedahkan isu tunggakan gaji mereka kerana menyifatkannya mencemarkan nama baik PFA.

Ezzrul Ikmanizar menolak dakwaan PFA bahawa pemain melanggar disiplin dan menyifatkan kesalahan mereka sengaja dibangkitkan bagi menutup kesalahan PFA.

Artikel Berkaitan:

“Kami akan terus menuntut hak yang dinafikan kerana sejak tidak dibayar gaji kami melakukan bermacam kerja seperti mengambil upah mengecat, menjual burger dan menjadi nelayan untuk terus hidup,” tambahnya. - Bernama