Usaha diplomatik Malaysia

Wisma Putra melalui perwakilan-perwakilan Malaysia di seluruh dunia terlibat secara langsung dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19.
Wisma Putra melalui perwakilan-perwakilan Malaysia di seluruh dunia terlibat secara langsung dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19.
A
A
A

KERAJAAN Malaysia sedang giat berusaha membendung penularan virus Covid-19. Pelbagai usaha domestik dan antarabangsa telah diambil oleh pihak berkuasa.

Antara langkah-langkah yang diperkenalkan termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara serta pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun, mungkin tidak ramai yang mengetahui di peringkat antarabangsa, Kementerian Luar Negeri atau lebih dikenali sebagai Wisma Putra melalui perwakilan-perwakilan Malaysia di seluruh dunia terlibat secara langsung.

Usaha diplomatik Malaysia dalam menghadapi Covid-19 boleh dibahagi kepada dua. Pertama, membawa pulang warganegara yang terkandas di luar negara. Kedua, mempergiatkan kerjasama bilateral dalam bidang penyelidikan perubatan dengan negara-negara lain seperti China, Korea Selatan, Rusia, India serta Bosnia dan Herzegovina untuk menghasilkan vaksin penawar kepada virus Covid-19.

Selain itu, Malaysia juga meningkatkan kerjasama multilateral untuk membendung Covid-19 melalui ASEAN serta Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Kerjasama

Kebanyakan negara di dunia telah mengisytiharkan PKP. Ini menyebabkan ramai warganegara Malaysia yang berada di luar negara terkandas.

Tugas untuk membawa warganegara balik dengan selamat terserah kepada Wisma Putra. Buat masa kini kerajaan Malaysia mempunyai 110 perwakilan di seluruh dunia. Untuk membawa kembali warganegara dari luar negara, perwakilan-perwakilan Malaysia perlu mendapat kerjasama dengan kerajaan tuan rumah.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama sebagai balasan serta tanda penghargaan kerajaan Malaysia juga sentiasa sedia memberi kerjasama kepada perwakilan asing untuk membawa warganegara mereka yang terkandas di Malaysia.

Semenjak penularan Covid-19 serta PKP, dengan hasil usaha gigih semua kakitangan Wisma Putra termasuk para diplomat di perwakilan asing dan Kementerian Luar Negeri, kerajaan Malaysia telah berjaya membawa kembali warganegara dari luar negara.

Wisma Putra bersama Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sains, Teknologi dan Invovasi (MOSTI) juga sedang giat memperkasakan kerjasama saintifik dengan negara-negara asing untuk mencari penawar kepada Covid-19.

Misalnya dengan usaha Wisma Putra, negara Bosnia dan Herzegovina, India dan Turki telah bersetuju untuk membekalkan ubat Hydroxychloroquine (HCQ) serta bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan melalui Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk pertukaran tenaga pakar dan kajian makmal.

Rusia juga telah melahirkan hasrat untuk berkongsi kepakaran dengan Malaysia melalui Joint Malaysia-Russia Commission for Economic, Scientific Technical and Cultural Cooperation (ESTC).

Kementerian Luar Negeri Malaysia turut menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada negara-negara yang dalam kesulitan menghadapi pandemik Covid-19. Misalnya, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin telah menghubungi Presiden Šefik Džaferović, Presiden Bosnia dan Herzegovina dan telah bersetuju memberi bantuan kemanusiaan kepada penduduk Bosnia yang terkesan teruk akibat kekangan peralatan perubatan.

Di samping itu, Perdana Menteri juga telah menerima panggilan daripada Presiden Mahmoud Abbas, Presiden Palestin. Kedua-dua pemimpin telah bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan di Timur Tengah.

Wisma Putra melalui perwakilan di luar negara cuba meyakinkan pelabur asing untuk meneruskan pelaburan di Malaysia dengan memberi gambaran yang sebenar serta polisi yang telah diambil oleh kerajaan bagi membendung Covid-19.

Diplomat Malaysia di luar negara juga meneroka peluang pelaburan bagi syarikat-syarikat Malaysia. Ini merupakan sebahagian daripada usaha Wisma Putra membantu memulihkan ekonomi negara pasca-Covid-19.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Ketua Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya