Beri 'peluang' Dr Noor Hisham rehat

Dr Noor Hisham diberikan cuti berehat seketika setelah bekerja tanpa henti sejak Disember 2019.
Dr Noor Hisham diberikan cuti berehat seketika setelah bekerja tanpa henti sejak Disember 2019.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebahagian besar rakyat pastinya tertanya ke mana 'menghilangnya' Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah apabila beliau tidak muncul secara langsung di televisyen hari ini.

Lebih menghairankan, sidang media Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memaklumkan perkembangan terkini Covid-19 yang biasanya disampaikan Dr Noor Hisham juga tiada hari ini.

Selepas setiap hari, pada setiap petang mengetuai sidang media harian perkembangan wabak itu untuk pertama kalinya kelibat Dr Noor Hisham yang dinamakan antara doktor terbaik dunia oleh China Global TV Network (CGTN) itu tidak kelihatan di televisyen.

Usah khuatir rakyat Malaysia, ketiadaan susuk tubuh yang ditunggu-tunggu pengamal media serta sebahagian besar rakyat itu berikutan beliau sebenarnya diberikan cuti.

Dr Noor Hisham menerusi Facebooknya menjelaskan beliau bersama sebahagian pasukannya diberi peluang untuk berehat daripada tugas.

"Pada petang ini saya dan sebahagian pasukan saya diberi peluang untuk berehat seketika setelah bekerja tanpa henti sejak Disember 2019 dalam respons dan kesiapsagaan KKM menghadapi penularan jangkitan Covid-19.

Walaupun tiada sidang media dijadualkan pada hari ini, satu kenyataan akhbar tetap akan menyusul bagi memastikan rakyat Malaysia mendapat maklumat terkini berkaitan status jangkitan Covid-19 dalam negara," tulisnya di Facebook beliau yang kini mempunyai hampir 600,000 pengikut.

Berdasarkan kenyataan media KKM petang semalam, kes pulih harian adalah 65, sekali lagi mengatasi kes baharu harian iaitu 54 dengan satu kematian. - Bernama

Artikel Berkaitan: