PMB Investment sasar pelaburan patuh syariah RM700 juta

Tengku Ahmad Badli Shah (tengah) memotong riben sebagai simbolik pelancaran Pejabat Jualan PMB Investment Negeri Kedah di Kompleks Sultan Abdul Hamid, dekat sini. Turut kelihatan, Najmi (tiga kanan).
A
A

ALOR SETAR - Syarikat Pengurusan Pelaburan Islam, PMB Investment Berhad (PMB Investment) menyasarkan pelaburan sebanyak RM700 juta menjelang Disember 2019 di seluruh negara.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pelaburan Mara Berhad (Pelaburan Mara), Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, sebanyak tujuh pejabat jualan negeri telah dibuka setakat ini dan terbaharu di Kompleks Sultan Abdul Hamid, dekat sini.

"Kami uar-uarkan agar ramai lagi yang boleh sertai PMB Investment untuk jadi pelabur unit amanah selain salah satu cabang kerjaya sebagai Perunding Unit Amanah (PUA) atau penasihat kewangan syariah di Malaysia.

"Pembukaan Pejabat Jualan Negeri di Kedah akan memberi lembaran baru kepada PMB Investment untuk lebih fokus menyediakan peluang pelaburan syariah terbaik di samping memberikan perkhidmatan cemerlang.

"Kami juga merancang untuk membuka Pejabat Jualan Negeri di Kelantan dan negeri-negeri lain selepas ini," katanya kepada media selepas melancarkan Pejabat Jualan Negeri pertama di Kedah, dekat sini hari ini.

Tengku Ahmad Badli Shah berkata, PMB Investment menyasarkan pelaburan patuh syariah di Kedah sehingga RM30 juta menjelang hujung tahun ini.

Menurutnya, setakat ini, pihaknya mempunyai kira-kira 80,000 pelabur sehingga 31 Disember 2018 dan 30 peratus dari jumlah tersebut adalah datang dari Kedah.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif PMB Investment, Najmi Mohamed berkata, setakat 31 Disember 2018, Kedah adalah negeri yang mempunyai PUA paling ramai di wilayah utara iaitu seramai 99 orang berbanding 175 daripada jumlah keseluruhan PUA di wilayah ini.

Pada majlis sama, PMB Investmemt turut meraikan anak-anak dari Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Cawangan Kota Darul Aman dengan menyampaikan sumbangan cenderahati kepada anak-anak yatim dan sumbangan wang tunai kepada rumah kebajikan tersebut.

Syarikat tersebut kini menguruskan 14 dana unit amanah, dua dana borong dan beberapa mandat portfolio dengan pelaburan dalam kelas-kelas aset ekuiti dan sukuk.

Hadir sama Ketua Pegawai Jualan dan Operasi, Razali Pungut, Pengurus Pembangunan Agensi, Ahmad Shahril Md Yusof, Pengurus Pejabat Wilayah Utara, Faizal Tahir dan Pegawai Perhubungan Pejabat Jualan Negeri Kedah, Rosdiana Mohamad Radzi.