Ahli Majlis MPS dakwa wujud perebutan jawatan

Choy Pooi Yee
Choy Pooi Yee
A
A
A

SELAYANG - Seorang Ahli Majlis di Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mendakwa wujud perebutan kuasa di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) itu apabila terdapat pihak kurang senang dengan jawatan yang disandangnya itu.

Choy Pooi Yee yang merupakan Ahli Majlis MPS Zon 18 PBT itu berkongsi statusnya yang masih menyandang jawatan tersebut dan kekal menjalankan tugas seperti biasa.

"Dimaklumkan bahawa jawatan saya sebagai Ahli Majlis MPS Zon 18 yang dilantik bagi tahun 2018 hingga 2020 masih wujud. Saya akan terus menjalankan tanggungjawab dan berkhidmat untuk masyarakat sementara saya masih memegang jawatan ini.

"Minta maaf kepada yang dengki dengan saya. Sila bersabar mungkin kamu kena tunggu sikit masa lagi untuk saya ditamatkan jawatan sebagai Ahli Majlis," katanya menerusi status dimuat naik di laman Facebooknya hari ini.

Beliau memaklumkan tidak bercadang untuk membuat rayuan mempertahankan jawatannya selepas tamat tempoh perkhidmatannya.

"Saya berjanji mesti ada peluang untuk rakan-rakan seperjuangan lama saya terus berebut dan bergaduh atas jawatan Ahli Majlis ini pada masa akan datang.

"Saya telah membuat keputusan tidak akan buat surat rayuan bagi mempertahankan keahlian parti (Parti Keadilan Rakyat) saya dan jawatan Ahli Majlis ini," katanya.

Pooi Yee (kanan) bergambar bersama Zuraida.
Pooi Yee (kanan) bergambar bersama Zuraida.

Artikel Berkaitan:

Pooi Yee antara 348 ahli PKR yang dipecat kerana melanggar disiplin parti dan didakwa penyokong bekas Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin.

Beliau sebelum ini dilantik menyandang jawatan Ahli Majlis atas kapasiti badan bukan kerajaan (NGO) yang disokong Zuraida yang ketika itu menyandang jawatan Ketua Wanita PKR.