Tabung Covid-19 kumpul lebih RM40 juta

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak RM40,298,699.49 berjaya dikumpulkan menerusi Tabung Covid-19 sejak ia dilancarkan pada 10 Mac lalu.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah itu diperoleh setakat 7 Mei lalu hasil sumbangan daripada pelbagai pihak.

Beliau berkata, setakat ini sumbangan itu telah diserahkan kepada dua kategori penerima iaitu individu yang telah dirawat kerana positif koronavirus (Covid-19) atau kontak rapat kepada pesakit telah dikenakan Perintah Pengawasan Dan Pemerhatian.

Menurutnya, bagi kontak Covid-19, mereka akan diberi RM100 sehari untuk 14 hari tempoh kuarantin.

"Daripada dua kumpulan itu yang layak memohon adalah warga Malaysia yang bekerja, tetapi telah kehilangan sumber pendapatan atau tidak dibayar gaji sepanjang tempoh dikenakan Perintah Pengawasan Dan Pemerhatian yang diarah kuarantin oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selama 14 hari.

"Bagi yang bekerja, tetapi telah kehilangan sumber pendapatan atau tidak dibayar gaji sepanjang tempoh menjalani rawatan di wad hospital ekoran Covid-19 juga layak untuk memohon," katanya pada sidang akhbar harian (Non-Health) di Putrajaya di sini hari ini.

Katanya, mereka yang berada di rumah kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak layak menerima bantuan tersebut.

Ismail Sabri berkata, bagi Bantuan Khas Hilang Pendapatan ini telah diberikan kepada 94 individu dengan jumlah RM125,700.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, bagi Bantuan Ihsan Kematian sebanyak RM5,000 turut diserahkan kepada semua waris mereka yang telah terkorban akibat Covid-19.

"Setakat ini ia sudah diberikan kepada 71 waris dengan jumlah RM355,000 dan sebanyak RM25,229,105.44 pula disalurkan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menerusi Yayasan Kebajikan Negara untuk bantuan kepada warga Malaysia yang memerlukan," katanya.