Perkeso laksana ujian Covid-19 guna kaedah RT-PCR

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) hanya akan melaksanakan ujian saringan Covid-19 menggunakan kaedah Reverse Transcriptase - Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) dan tidak menggunakan kaedah Rapid Test Kit (RTK) Antibody.

Perkeso memaklumkan ia berikutan pihak berkenaan mengambil maklum garis panduan terkini daripada Kementerian Kesihatan mengenai saringan Covid-19 yang hanya mengiktiraf RT-PCR sebagai kaedah saringan dan keputusan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara berhubung perkara sama.

"Perkeso melihat saranan kaedah saringan Covid-19 ke atas pekerja yang berisiko tinggi secara serius. Ujian saringan ini akan dilaksanakan oleh penyedia perkhidmatan sedia ada dan lain-lain penyedia perkhidmatan yang akan dilantik bagi membolehkan penyampaian perkhidmatan yang lebih efisien.

"Saringan ini wajib kepada pekerja asing di sektor pembinaan atau yang bekerja di zon merah sahaja," menurut Perkeso dalam kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, Perkeso memaklumkan di bawah Program Saringan Prihatin (PSP), ujian saringan Covid-19 ke atas pekerja syarikat yang beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan akan melibatkan dua fasa iaitu melalui ujian RT-PCR dan disusuli ujian RTK Antibody.

Maklumat lanjut berkenaan pengoperasian PSP Perkeso akan dimaklumkan melalui Portal Prihatin Perkeso.- Bernama

Artikel Berkaitan: