Mayat warga asing tanpa pakaian di pondok

Mayat lelaki warga Myanmar ditemui tanpa pakaian pagi tadi berhampiran pondok kebun sayur.
Mayat lelaki warga Myanmar ditemui tanpa pakaian pagi tadi berhampiran pondok kebun sayur.
A
A
A

KEPALA BATAS - Mayat seorang lelaki warga Myanmar ditemukan dalam keadaan tidak berpakaian berhampiran sebuah pondok kebun sayur di Tasek Gelugor di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mayat lelaki berusia 25 tahun itu ditemui oleh majikannya kira-kira jam 8.30 pagi dalam keadaan tertiarap sebelum dia melaporkan kejadian itu kepada polis.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa baharu bekerja di kebun berkenaan dan tinggal di pondok yang telah disediakan oleh majikan sejak April lalu.

"Pemeriksaan di tempat kejadian mendapati barang-barang peribadi milik mangsa tidak ditemui.

"Namun menurut majikannya mangsa tidak pernah membawa rakan-rakannya ke pondok berkenaan sebelum ini dan kali terakhir berjumpa dengan pekerjanya itu pada jam 1.30 petang semalam," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Noorzainy berkata, pemeriksaan yang dilakukan pasukan forensik terhadap mayat mangsa mendapati terdapat darah beku dalam mulutnya dipercayai kesan luka akibat terjatuh di tanah.

Tambahnya, turut ditemui tin minuman keras berhampiran dengan pintu masuk pondok berkenaan.

"Siasatan lanjut masih lagi dilakukan bagi mengenal pasti punca kematian dan kita sedang menunggu keputusan bedah siasat daripada pegawai perubatan.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.