Rumah madrasah Ramadan

family members praying in congregation at the prayer room
family members praying in congregation at the prayer room
A
A
A

RAMADAN bulan yang mulia ini hanya datang sekali setahun selagi ada hayat. Setiap individu Muslim menyambut ketibaannya dengan penuh teruja.

Pada bulan ini ALLAH SWT menawarkan dengan limpah keberkatan dan gandaan pahala bagi setiap kebajikan yang dilakukan oleh sesiapa yang berpuasa dengan sempurna.

Seperti lazim, untuk menyambut bulan ini pelbagai program diatur dapat menarik minat jemaah untuk memenuhi ruang masjid dan surau. Mereka yang jarang datang ke masjid dan surau turut teruja hadir menunjukkan komitmen sepanjang sebulan Ramadan.

Mungkin itu yang dikatakan tarikan bulan penuh keberkatan dan melembutkan hati sesiapa sahaja yang ikhlas mencari kebajikan dan pahala. Malangnya ke semua ini tidak dapat diteruskan ketika negara berdepan dengan krisis Covid-19.

Sebenarnya berpuasa lebih kepada ibadah individu, boleh sahaja ditunaikan secara bersendirian dan diimarahkan bersama keluarga di rumah apabila keadaan tidak mengizinkan.

Ketua keluarga perlu merancang program Ramadan banyak tertumpu di surau-masjid sebelum ini, perlu di bawa ke dalam rumah. Rumah menjadi madrasah Ramadan.

Bapa sebagai ketua keluarga boleh menjadi imam solat berjemaah tarawih dan isteri bersama anak-anak sebagai makmum.

Amalan berjemaah mengeratkan hubungan keluarga dan menghidupkan suasana Ramadan bersama-sama. Ibadah berjemaah bersama keluarga adalah latihan organisasi dalam pengurusan kepimpinan dan kesetiaan individu terhadap kesatuan organisasi bermula dari unit yang kecil.

Artikel Berkaitan:

Ini dikatakan sebagai madrasah terbuka kepada sesiapa yang bersedia untuk mengambil peluang keemasan itu namun secara khususnya, difardukan berpuasa bagi sesiapa mencukupi syarat seperti umur baligh, sihat tubuh badan dan sebagainya.

Perkara utama yang dituntut kepada orang berpuasa hendaklah meninggalkan makan minum dan tidak melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar sehinggalah terbenam matahari. Ini bermakna diharamkan kepada kita makan minum di siang hari walaupun ia halal.

Terapi jiwa

Secara umumnya, kesan positif puasa seringkali menjadi tumpuan kajian. Para doktor perubatan menjadikannya sebagai amalan kesihatan atau sebagai jalan penyelesaian bagi penyakit-penyakit moden yang sukar diatasi oleh rawatan-rawatan canggih hari ini. Tanpa memberi kesan sampingan ia dianggap penemuan terapi baharu.

Keajaibannya memaksa Mark Twain seorang doktor yang terkenal mencadangkan supaya pesakitnya berpuasa sepanjang 48 jam. Hal ini dijelaskan oleh Henry G Bieler dalam bukunya, Food Is Your Best Medicine.

Sungguhpun puasa itu hebat fungsinya, Islam tidak memberatkan kita seperti cadangan melampau itu.

Kongres Antarabangsa di Casablanca Maghribi pada 1996 bertemakan Kesihatan dan Ramadan sangat berkaitan. Penemuan kongres ini bersepakat merumuskan bahawa puasa adalah satu mekanisme penuh berpotensi mencegah dan menyembuh pelbagai penyakit.

Sebenarnya Imam Al-Ghazali lebih awal menjelaskan hal ini menerusi karya agungnya Ihya ‘Ulummiddin. Tegasnya bencana yang paling besar dalam kehidupan manusia ialah nafsu perut.

Pengambilan makanan berlebihan akan menghilangkan kecergasan serta akan hilang kecerdasan yang mengundang sikap malas dan melesukan fizikal.

Perspektif al-Ghazali menjawab kesalahan tanggapan umum dengan mengambil makanan banyak ketika lapar akan menambahkan tenaga, terutamanya ketika berbuka.

Hal yang sama diingatkan oleh al-Quran supaya pengambilan makanan dan minuman hendaklah tidak melampau. (rujuk al-Araf: 31)

Secara amalinya, Nabi SAW memberi panduan umum ketika menjamu selera iaitu, satu pertiga diisi dengan makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga lagi untuk pernafasan.

Tetapi di bawah tekanan rasa lapar, ramai orang gagal mengatasinya kerana dorongan ingin “balas dendam” disebabkan berlapar sepanjang hari.

Sungguhpun bazar Ramadan tidak beroperasi seperti biasa ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bazar Ramadan melalui talian menawarkan beraneka juadah makanan, kadang-kala membuatkan hilang pertimbangan kerana desakan perut kosong dan dahaga.

Cuma hotel dan restoran tidak lagi berlumba-lumba mempromosikan bufet Ramadan seperti biasa. Sesetengah tawaran melalui talian lebih banyak pilihan termasuk makanan segera menyebabkan rambang mata dengan pilihan di hujung jari.

Ketika berbuka kita disunatkan memakan buah kurma agar memulih kehilangan tenaga melalui gula tulen dan serat buah.

Di kala ini, kita hendaklah pastikan juadahnya adalah halal serta selamat, dan tiada pengambilan yang makruh seperti merokok. Malah kebanyakan ulama memfatwakan merokok adalah haram.

Kealpaan kita mengambil makanan atau minuman yang tidak menepati syariah akan merosakkan ibadah puasa sepanjang hari.

Ramadan turut menekankan ketepatan pengurusan masa, termasuklah melewatkan waktu sahur dan berbuka pada awal waktunya. Manakala pada malam hari disunatkan menunaikan sembahyang solat tarawih berjemaah dan membanyakkan membaca al-Quran.

Memandangkan banyak masa terluang, lebih elok kelaziman sekadar membacakan al-Quran ditambah dengan memahami al-Quran melalui terjemahannya.

Kemuncak Cabaran

Sebenarnya kesemua ini adalah nikmat cabaran kepada sesiapa mencari keredaan Allah dan pahala yang berlipat ganda. Mencari limpahan rahmat Lailatulqadar kemuncak cabaran kerana ia berada di penghujung Ramadan disebabkan sudah “keletihan” dan masing-masing sibuk dengan pelbagai persediaan menyambut hari raya.

Budaya berlebihan menyambut hari raya berbanding pengisian Ramadan harus diperbetulkan. Dalam pergerakan terbatas sekarang ini mengajar kita menyambutnya secara sederhana tetapi bermakna.

Kemeriahan Syawal hanyalah bagi mereka yang berjaya menghidupkan sepenuhnya Ramadan dengan menunaikan segala tawaran daripada ALLAH SWT.

Bukannya mengejar Syawal sehingga terpinggir Ramadan disebabkan segala macam tawaran istimewa dari gedung-gedung perniagaan yang boleh dihantar terus ke hadapan rumah.

Cabaran generasi awal Islam menghadapi Ramadan dalam suasana genting tetapi cemerlang. Hakikat kecemerlangan ini terbukti dengan kemenangan tentera pimpinan Nabi Muhammad SAW dalam perang Badar di bulan Ramadan.

Kehebatan ini diteruskan di bulan Syawal iaitu dalam perang Ahzab dan Hunain. Sudah tentulah kemenangan mereka disempurnakan dengan kekuatan inteligensia, informasi, mental dan strategi yang cekap.

Sekarang ini kita berperang dengan musuh yang tidak dapat dilihat, koronavirus juga memerlukan ketahanan mental, kekuatan fizikal dan kecekapan inteligesia untuk memutuskan rantaiannya.

Amalan berpuasa terutamanya di bulan Ramadan adalah latihan amali yang paling mujarab untuk mengikis penyakit rohani, krisis mental dan penyakit fizikal manusia akibat mengejar nilai kebendaan yang tiada kesudahan.

Penyakit moden hari ini boleh dikesan daripada kegagalan mengawal krisis mental dan rohani kerana terlalu sibuk dengan urusan kerjaya dan tersepit di celah-celah krisis kehidupan.

Akibatnya fizikal manusia juga menjadi mangsa melalui pelbagai penyakit yang menimpa.

Bagi yang menemui keberkatan bulan Ramadan, puasa akan menjadi modul tetap kehidupan bagi bulan-bulan seterusnya kerana kemampuannya memberi kekuatan, kesihatan pada rohani dan jasmani.

Dr Lokman Ab Rahman merupakan Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Dasar Kemajuan Islam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)