PTPTN sumbang PPE, PAPR

Ahmad Dasuki (kiri) menyerahkan PPE dan PAPR kepada Dr Tengku Intan Norleen yang turut dihadiri oleh Mastura (kanan) di Hospital Selayang dekat Kuala Lumpur semalam.
Ahmad Dasuki (kiri) menyerahkan PPE dan PAPR kepada Dr Tengku Intan Norleen yang turut dihadiri oleh Mastura (kanan) di Hospital Selayang dekat Kuala Lumpur semalam.
A
A
A

HOSPITAL Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Selayang menerima sumbangan peralatan pelindungan diri (PPE) dan respirator pembersih udara berkuasa (PAPR) daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) semalam.

Sumbangan berupa 1,000 unit PPE dan 10 set PAPR untuk kegunaan rawatan kes koronavirus (Covid-19) itu disampaikan oleh Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid di dua hospital berkenaan semalam.

Ahmad Dasuki berkata, sumbangan bernilai RM160,000 itu sebagai tanda terima kasih PTPTN kepada petugas barisan hadapan negara.

Katanya, hospital berkenaan dipilih selepas mengambil kira kedua-duanya terlibat dengan pengurusan kes Covid-19.

“Sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini menunjukkan keprihatinan PTPTN kepada pasukan barisan hadapan yang banyak membantu Malaysia menangani penularan Covid-19.

"Kami akan memainkan peranan untuk bersama-sama membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberikan maklumat berkenaan kesedaran perlunya menjaga kebersihan diri, memakai pelitup muka ketika berada di tempat awam dan melakukan penjarakan sosial supaya kita bersama-sama dapat membantu menghentikan wabak ini,” katanya kepada Sinar Harian di Hospital Selayang dekat sini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi PTPTN, Mastura Mohd Khalid.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Dasuki (tiga dari kiri) menyerahkan sumbangan PAPR dan PPE daripada PTPTN kepada Dr Heric Corray (tiga dari kanan) di Hospital Kuala Lumpur semalam.
Ahmad Dasuki (tiga dari kiri) menyerahkan sumbangan PAPR dan PPE daripada PTPTN kepada Dr Heric Corray (tiga dari kanan) di Hospital Kuala Lumpur semalam.

Agihan peralatan berkenaan adalah susulan penyerahan sumbangan sebelum ini.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Perubatan Hospital Selayang, Dr Tengku Intan Norleen Tengku Sharif melahirkan rasa syukur dan terima kasih atas sumbangan yang sangat diperlukan itu.

Menurutnya, Hospital Selayang sentiasa mengalu-alukan sumbangan sedemikian yang mengambil kira keperluan berterusan petugas kesihatan yang menguruskan pesakit Covid-19.

"Kami memang amat memerlukan PPE kerana ia digunakan setiap hari. Satu syif pakai dua kali untuk seorang staf. Di sini kami ada empat wad yang mengendalikan pesakit saring. Petugas sentiasa menggunakan PPE. PAPR pula digunakan di bahagian kecemasan, dewan bedah dan unit rawatan rapi (ICU).

"Setakat ini kami tiada banyak bekalan. Terima kasih kerana membekalkannya. PPE memang ada tetapi disebabkan sentiasa digunakan, jadi memang sentiasa diperlukan.

"Kami sentiasa mengalu-alukan sumbangan daripada semua pihak yang menyokong usaha membanteras dan memastikan pasukan petugas barisan hadapan dalam keadaan baik kerana tidak mahu mereka terdedah dengan jangkitan. Dengan bantuan ini kita harapkan kita akan menang melawan Covid-19," katanya.

Pengarah HKL, Datuk Dr Heric Corray pula menyifatkan sumbangan itu amat penting ketika ini demi keselamatan petugas dan rawatan pesakit.

“Terima kasih kepada PTPTN dengan sumbangan PAPR dan PPE yang akan digunakan untuk memastikan keselamatan petugas yang akan memberikan rawatan.

"Kelengkapan ini penting dan sumbangan ini akan meningkatkan stok PAPR untuk pesakit yang akan datang dengan jangkitan wabak ini," katanya.