Muhyiddin, Trump komited kukuh kerjasama antara Malaysia, AS

Muhyiddin menerima panggilan telefon daripada Trump selama 30 minit malam tadi.
Muhyiddin menerima panggilan telefon daripada Trump selama 30 minit malam tadi.
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima panggilan telefon daripada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump malam tadi.

Beliau berkata, Trump mengucapkan tahniah di atas pelantikan sebagai Perdana Menteri dan juga pembentukan kerajaan baharu.

"Kami menyatakan komitmen untuk terus mengukuhkan hubungan kerjasama komprehensif di antara Malaysia dan Amerika Syarikat," katanya menerusi satu hantaran di akaun Facebook.

Pada perbualan yang berlangsung selama 30 minit itu, Muhyiddin dan Trump turut berbincang mengenai pandemik Covid-19, serta pendekatan yang telah diambil kedua-dua negara.

"Kami turut menekankan peri pentingnya kerjasama komuniti antarabangsa bagi mengurangkan kesan pandemik tersebut ke atas kesejahteraan hidup masyarakat dunia dan ekonomi global.

"Usaha-usaha tersebut termasuk meningkatkan kerjasama dalam pembangunan vaksin dan ubat-ubatan serta akses sama rata kepada vaksin Covid-19 kelak," ujar beliau.

Pada masa yang sama, kedua-dua negara juga menzahirkan kesepakatan bagi memastikan kelancaran rantaian bekalan peralatan kritikal dan bekalan lain, terutamanya semasa krisis kesihatan global.

"Selain itu, kami turut bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu kepentingan bersama dalam konteks mengekalkan keselamatan dan keamanan antarabangsa," kata beliau.

Artikel Berkaitan: