Penangguhan Liga-M peluang Qayyum jana pendapatan sampingan

Pemain pertahanan Kuala Lumpur, Mohamad Qayyum Marjoni Sabil mengusahakan perniagaan makanan tradisi Kelantan, 'FN Colek Leghak' di kampung halamannya di Kota Bharu.
Pemain pertahanan Kuala Lumpur, Mohamad Qayyum Marjoni Sabil mengusahakan perniagaan makanan tradisi Kelantan, 'FN Colek Leghak' di kampung halamannya di Kota Bharu.
A
A
A

PENANGGUHAN Liga Malaysia (Liga-M) sejak 16 Mac lepas susulan penularan wabak koronavirus (Covid-19), membuka pintu rezeki baharu kepada pemain pertahanan Kuala Lumpur, Mohamad Qayyum Marjoni Sabil yang mengusahakan perniagaan makanan tradisi Kelantan, 'FN Colek Leghak' di kampung halamannya di Kota Bharu.

Pemain berusia 26 tahun itu yang mula menjual makanan tradisi berkenaan semasa penguatkuasaan PKP pada pertengahan bulan lepas, mengakui amat berpuas hati dengan sambutan menggalakkan daripada pelanggan setakat ini terutama pada bulan Ramadan.

Mohamad Qayyum, bekas pemain PKNS FC, menyifatkan inisiatif itu bukan sahaja membantu mengisi masa terluangnya, malah dapat menjana pendapatan sampingan.

"Bahan colek leghak ini semua saya sediakan sendiri iaitu terdiri daripada ayam, perut, telur puyuh dan paru beserta keropok, cuma kuahnya sahaja yang jadi bahan penting dalam colek ini saya minta ibu sediakan yang menjadi kekuatan kepada colek leghak saya.

"Colek ini sememangnya antara makanan kegemaran orang Kelantan dan senang ‘dijalankan’ kerana permintaan yang tinggi, dan kebiasaannya orang (di Kelantan) akan makan pada waktu moreh sebaik selepas mengerjakan solat tarawih,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), hari ini.

Mohamad Qayyum berkata, beliau menerima tempahan daripada sekitar 20 orang dalam satu hari, dan setiap satu set ‘colek leghak’ itu dijual pada harga RM17, di samping RM3 sebagai caj penghantaran.

Bekas pemain Kelantan yang merupakan produk skuad Harimau Muda itu turut mendedahkan, selain makanan tradisi berkenaan, beliau turut mengusahakan perniagaan menjual kasut wanita bagi mempelbagaikan pendapatan.

Di sebalik kerancakan mengusahakan perniagaan di kampung halamannya, Mohamad Qayyum mengakui amat dahagakan aksi di tengah padang, dan berharap perancangan MFL untuk meneruskan saingan Liga-M pada September ini dapat diteruskan.

Artikel Berkaitan:

"Bila sudah lama berehat ini, semakin lama semakin rindu untuk saya turun padang dan berharap penularan wabak COVID-19 ini akan segera berakhir.

"Tambahan saya bermain dalam semua empat perlawanan dengan Kuala Lumpur dan kami kini berada di tahap terbaik tanpa ada sebarang rekod kekalahan,” jelas beliau.

Mohamad Qayyum pada masa sama turut menyasarkan untuk membantu skuad warga kota meraih slot ke saingan Piala Malaysia pada musim ini, selain meraih tempat ke Liga Super 2021.-Bernama