Lain padang, lainlah belalangnya

A
A
A

AGAK mengejutkan apabila kerajaan pada Isnin lalu membenarkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa empat masih berjalan.

Keputusan PKPB itu bertujuan membenarkan sebahagian besar aktiviti ekonomi kembali beroperasi setelah hampir dua bulan tergendala.

Penerimaan PKPB di peringkat negeri juga berbeza-beza. Ada yang menyokong dan juga yang membantah. Ada yang menolak dan ada yang menerimanya dengan bersyarat.

Memang wujud tekanan dalam membuat keputusan itu. Ibarat diluah mati emak, ditelan mati bapa, begitulah perasaan semua terhadap penerimaan pelaksanaan PKPB ketika ini.

Bercampur baur mengikut keadaan serta keperluan masing-masing.

Benar PKPB barangkali nampak tergesa-gesa dilakukan. Apatah lagi ketika PKP fasa empat masih berbaki.

Pengajaran kes di Singapura, Korea Selatan dan Taiwan cukup dijadikan peringatan tentang bahaya mengambil mudah wabak koronavirus (Covid-19) walaupun kesnya menurun.

Sebab itu, ada kewajaran juga PKPB tidak dilaksanakan.

Artikel Berkaitan:

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada Khamis lalu mengakui bahawa negara masih belum memasuki fasa exit strategy (pelan pasca krisis Covid-19) kerana masih berterusan mencatatkan kes baharu walaupun berkadar dua angka.

Beliau menambah, Malaysia masih memerlukan sekurang-kurangnya dua minggu lagi untuk fasa pemantauan.

Namun, kita barangkali tidak mampu bertahan kalau PKPB tidak dilaksanakan segera.

Tempoh dua minggu untuk PKP dilanjutkan akan membahayakan ekonomi negara yang sudah lumpuh disebabkan wabak ini. Itu belum lagi tekanan emosi dan fizikal.

Ini diakui sendiri oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyididn Yassin pada awal Mei lalu bahawa negara mengalami kerugian sebanyak RM63 bilion sejak 18 Mac lepas ketika PKP pertama dilaksanakan.

Kalau diteruskan juga, kerugian itu bakal mencecah hampir RM100 bilion, satu kerugian yang bukan sedikit jumlahnya.

Terkesan

Lihat sahaja ketika hari pertama PKPB dilaksanakan, tular gambar warga kita berbaris panjang ke kedai pajak gadai di seluruh negara.

Itu menunjukkan ada segelintir warga kita yang begitu terkesan terutama dari sudut ekonomi disebabkan tempoh PKP yang panjang.

Walaupun ada bantuan diberikan, ia masih belum cukup untuk menampung keperluan mereka.

Begitulah dilemanya. Kita sebagai rakyat Malaysia tidak boleh terus mengecam apa juga keputusan kerajaan.

Memang kita khuatir akan keselamatan dan nyawa tapi dalam masa yang sama perlu faham keperluan ekonomi dan kelangsungan hidup juga perlu dipertimbangkan.

Bukan semua mampu bertahan dalam tempoh yang panjang. Baik pekerja mahupun majikan, masing-masing ada kepentingan ekonomi yang perlu dipertanggungjawabkan.

Yang bekerja perlu segera bekerja bagi menampung keperluan dan tanggungan rumah tangga.

Sang majikan pula perlu segera kembali beroperasi bagi menjana pendapatan kerana tanggungjawab untuk membayar gaji kepada pekerja hanya boleh dilakukan kalau perusahaan berfungsi dan pendapatan diraih kembali.

Sebab itu lain padang, lain belalang. Setiap daripada kita ada keperluan dan kemampuan yang berbeza-beza.

Dalam waktu sebegini, lebih baik kita memanfaatkan sahaja apa jua pilihan yang ada. Cuma apabila kerajaan sudah menunjukkan keprihatinannya menerusi PKPB ini, janganlah pula leka dan lupa diri.

Jadilah individu bijak dan bertanggungjawab. Keluar hanya untuk bekerja dan ketika perlu sahaja. Patuhilah segala syarat dan prosedur operasi standard (SOP) yang sudah ditetapkan oleh kerajaan.

Kepercayaan kerajaan kepada kita menerusi PKPB harus dibalas dengan mengamalkan disiplin dan kawalan kendiri yang tinggi. Setakat ini, hanya itulah ‘senjata’ yang kita ada untuk melawan wabak Covid-19.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara