Tidak cukup dengan mungkin

A
A
A

SEBELUM saya mengupas dengan lebih lanjut berkaitan isu ini, izinkan saya berkongsi satu kisah zaman dahulu kala.

Diceritakan, ada seorang petani di China telah kehilangan seekor kuda. Apabila mendengar berita tersebut, jiran beliau terus datang bertemu dengannya dan berkata: “Malang sungguh nasib kamu.”

Namun petani tersebut menjawab: “Mungkin betul atau tidak.” Tidak lama kemudian, kuda tersebut balik ke rumah dan membawa pulang bersama dua ekor kuda liar.

Apabila mendengar berita tersebut, jirannya terus datang dan berkata: “Bertuah sungguh kamu.” Namun petani tetap menjawab: “Mungkin betul atau tidak.”

Selang beberapa lama, anak lelakinya terjatuh dari kuda liar dan patah kaki sewaktu cuba menjinakkannya.

Apabila mendengar berita tersebut, jirannya terus datang dan berkata: “Kamu sungguh tidak bernasib baik.” Namun petani masih menjawab: “Mungkin betul atau tidak.”

Tidak lama kemudian, askar datang ke kampung untuk memaksa anak-anak muda lelaki menjalani kerahan tentera, namun anak petani terlepas daripada tanggungjawab tersebut kerana kakinya patah.

Ramai anak-anak lelaki jiran tetangganya dikerah oleh pihak askar. Seperti biasa, jiran tersebut datang berjumpa dengannya dan berkata: “Untunglah kamu.” Pun begitu petani tetap juga menjawab: “Mungkin betul atau tidak.”

Artikel Berkaitan:

Sebetulnya, cerita kuno tersebut telah dikupas oleh banyak ahli ilmuwan.

Ada yang berpandangan bahawa cerita ini menjadi iktibar untuk kita bahawa tidak semestinya perkara yang buruk itu akan kekal buruk selamanya.

Selain itu, ada juga yang berpandangan soal baik dan buruk serta bernasib baik atau malang, bukanlah dalam kawalan kita, sebaliknya hanya masa yang akan menentukan.

Pun begitu, ramai yang berpandangan kita tidak boleh menyerahkan kehidupan berasaskan faktor ‘mungkin’.

Ini kerana faktor ‘mungkin’ akan membataskan usaha dengan hanya meletakkan harapan tanpa usaha dan perancangan menyeluruh.

Hakikatnya, kisah tersebut memandu kita agar sentiasa berusaha bersungguh-sungguh barulah bertawakal kepada ALLAH.

Begitulah juga dengan isu berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) baru-baru ini.

Apa yang jelas, kita tidak boleh bersandarkan kepada ‘mungkin betul atau tidak’ bagi menangani wabak itu. Hakikatnya, kita mungkin masih tidak selamat walaupun berada di kawasan hijau.

Tidak semestinya kebebasan bersyarat mungkin meningkatkan semula wabak itu. Ia bermakna kita tidak akan berjaya mengawal wabak Covid-19 jika tiada kesepakatan. Persoalannya apakah perkara yang perlu disepakati?

Pertama, kita perlu yakin kepada kepimpinan negara untuk menguruskan hal ini.

Saya percaya kerajaan mengambil kira semua faktor sebelum mengumumkan langkah-langkah yang sewajarnya berkaitan kawalan wabak penyakit Covid-19.

Mereka mempunyai maklumat yang lebih lengkap berdasarkan sumber-sumber yang sahih dan dinasihati oleh pakar yang profesional. Apa yang nyata, setiap arahan yang dikemukakan kepada rakyat akan diubah suai daripada masa ke masa.

Kedua, kita sebagai rakyat harus bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk membasmi wabak ini.

Kita perlu sedar bahawa selain menjaga nyawa rakyat, kita perlu juga menjaga nyawa negara iaitu pengembangan sektor ekonomi yang merupakan nadi negara.

Apa yang jelas, kejayaan kitaran ekonomi inilah yang akan berbalik semula kepada rakyat.

Ketiga, kita hanya perlu jaga diri kita. Justeru, jangan ambil mudah setiap garis panduan (SOP) yang telah diberikan. Oleh itu, kita tidak boleh mengikut ‘nafsu bebas’ seperti dahulu lagi.

Bersalam-salaman perlu dielakkan walaupun berasa tidak tergamak. Perhimpunan ramai perlu dijauhi, walaupun teringin sangat untuk anjur dan hadir.

Selain itu, memakai penutup muka, menjaga jarak serta kebersihan diri perlu menjadi kelaziman.

Ingatlah, menguruskan negara dalam keadaan sekarang memerlukan perancangan teliti dan menyeluruh serta kerjasama tinggi daripada semua lapisan masyarakat. Benteng terakhir negara adalah diri kita sendiri.

* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan & Teknokomunikasi Universiti Malaysia Perlis