Ekonomi 101

A
A
A

"HARI ini anak-anak, kita akan belajar tentang ekonomi. Sebelum itu, saya mahu kamu semua buat dua kumpulan ya. Satu kumpulan di sebelah kiri untuk ibu bapa yang tidak bekerja dan sebelah kanan pula untuk ibu bapa yang bekerja,” kata Cikgu Jaafar dengan tegas.

Cikgu Jaafar memerhati akan pergerakan anak-anak murid yang agak perlahan. Beliau menunggu dengan sabar. Akhirnya mereka berkumpul seperti yang telah diarahkan.

“Baik, sekarang kita lihat bagaimana ekonomi berfungsi? Untuk mempunyai ekonomi yang mantap dan kukuh, kamu kena ada duit. Kebanyakan orang, hasil duitnya daripada pekerjaan yang dilakukannya. Ia dipanggil gaji.

“Syarikat tempat kamu bekerja ini akan memberi gaji. Kamu mungkin bekerja sebagai buruh binaan, jurutera, menteri, pengerusi GLC, cikgu, pembantu kedai runcit ataupun apa-apa sahaja.

“Contohnya, Encik Najib baru sahaja mendapat gaji. Maka dia akan menggunakan duit gaji itu untuk diberi kepada orang lain pula. Macam mana tu? Dengan berbelanja. Biasanya dia akan belanja di pasar raya untuk membeli barang keperluannya.

“Pasar raya yang menerima duit Encik Najib akan memasukkan duit itu ke dalam bank untuk membayar hutang pula. Bank pula yang mendapat duit bayaran daripada pasar raya akan memberi pinjaman kepada, hmm... contohnya mungkin Encik Anwar, yang memerlukan duit untuk membeli rumah, dan juga Encik Azmin yang mungkin memerlukan pinjaman itu untuk membuka kilang tayar.

“Dalam situasi ekonomi yang bagus, setiap orang akan bertukar duit sesama mereka untuk memenuhi keperluan masing-masing. Atau dengan kata lain berlaku transaksi di antara satu sama lain. Dan mereka semua gembira.

“Itu dari sisi pandangan yang baik. Dari sisi yang gelap pula tentang ekonomi ini adalah jika kita tidak ada duit. Maka, kita tidak boleh berbelanja, maka tidaklah berlakunya transaksi. Contohnya, tiba-tiba Encik Najib yang mungkin mengalami kesusahan.

Artikel Berkaitan:

“Encik Najib mungkin tidak dapat berbelanja di pasar raya. Dan pasar raya pula tidak dapat membayar pinjaman kepada bank, dan bank pula tidak dapat memberi pinjaman kepada Encik Anwar dan Encik Azmin untuk mendapat keuntungan faedah.

“Maka Encik Anwar tidaklah dapat membeli rumah dan Encik Azmin pula tidak dapat membuka kilang tayar yang diidamkannya itu. Maka ekonomi akan meleset disebabkan tidak ada transaksi. Faham semua?”

Seorang anak muridnya menyampuk: “Cikgu, ayah saya sekarang sudah tidak ada duit. Dia dibuang kerja. Dulu dia bekerja buat perabot.”

Kemudian seorang lagi anak murid Cikgu Jaafar menjerit pula: “Ayah saya pun sama cikgu! Dulu dia bekerja di kilang tayar.”

“Ayah saya pula masih bekerja. Tapi dia tak benarkan emak saya belanja suka-suka. Katanya, ini untuk persediaan ketika hari hujan. Saya tidak faham cikgu kenapa perlu bersedia dengan duit pada hari hujan,” kata seorang murid dalam kumpulan ibu bapa yang masih mempunyai kerja.

Pulih

“Apabila ekonomi semua sudah pulih, dapat bekerja semula tak cikgu?” tanya seorang murid.

“Itu soalan menarik,” kata Cikgu Jaafar.

“Sebenarnya untuk keluar daripada kemelesetan ekonomi, memang kena ada aktiviti bekerja ini. Tetapi biasanya syarikat tidak mahu ambil kerana kononnya kata mereka tidak ada duit. Mereka mungkin ambil separuh sahaja, supaya boleh jimat,” sambung Cikgu Jaafar lagi.

“Habis kalau tidak ada duit, macam mana nak beli baju raya ni cikgu?” tanya seorang murid sebak.

Seorang murid bernama Muhyiddin pantas berdiri dengan penuh bersemangat, menjerit: “Jangan bimbang semua! Kerajaan akan membantu kita dengan Bantuan Prihatin Nasional tuan puan.”

Cikgu Jaafar tersenyum bangga dengan gelagat anak-anak muridnya. Tiba-tiba bahunya ditepuk kuat dari belakang: “Berangan-angan apa tu bang? Orang dah jauh bergerak ke depan tu.”

“Oh maaf,” kata Cikgu Jaafar bergerak pantas ke hadapan hingga sampai di kaunter.

“Berapa boleh dapat tauke?” tanya Cikgu Jaafar menghulurkan barang kemas Mak Cik Kiah kepada tauke pajak gadai. Cikgu Jaafar sekadar membantu.

* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarkat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bersatira, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com