Ahli perniagaan didakwa menyamar Datuk, miliki pistol

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang ahli perniagaan dihadapkan ke dua mahkamah berasingan atas pelbagai kesalahan antaranya menyamar sebagai Datuk, memiliki pistol dan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen M Kalaiarasy, tertuduh Khor Weng Hui, 27, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu memiliki sekeping kad nama tertera Jata Negeri Pahang yang merupakan pengenalan sebagai Datuk yang tidak diiktiraf oleh mana-mana pihak berkuasa dan menggunakan jata yang mempunyai lambang Darjah Kebesaran Mahkota Pahang Yang Amat Mulia, peringkat kedua iaitu Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk di kenderaan jenis Toyota Velfire nombor pendaftaran PEN 44 tanpa kebenaran dari pihak berkuasa.

Dia dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di laluan keluar Plaza Tol Jawi, Nibong Tebal di sini pada 12.20 tengah malam, 19 April lepas mengikut Seksyen 3 (1) dan Seksyen 3(1) (c) Enakmen Lambang, Gelaran Dan Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pahang 2017 dan boleh dihukum di bawah enakmen sama membawa hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun, jika sabit kesalahan.

Kalaiarasy membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin untuk kedua-dua pertuduhan itu dan menetapkan 1 Jun untuk sebutan kes manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Yazid Mustaqim Roslan dan Noor Azura Zulkiflee dan tertuduh diwakili peguam Andy Ooi.

Di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Weng Hui mengaku tidak bersalah atas pelbagai kesalahan antaranya melanggar PKP, menghalang anggota polis menjalankan tugas, mencuri kenderaan dan memiliki pistol.

Bagi tuduhan ingkar PKP, Weng Hui didakwa telah bergerak keluar rumah dari Tanjong Piandang, Perak ke Plaza Tol Jawi yang merupakan tempat kawasan jangkitan bukan bertujuan untuk melakukan mana-mana perkara yang diperuntukkan di bawah Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Dia berdepan hukuman di bawah Peraturan 11(1) peraturan sama, yang jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.

Weng Hui didakwa melakukan kesalahan itu pada 3.15 petang, 10 April dan pada jam 12.20 tengah malam, 19 April lalu serta berdepan dengan pertuduhan menghalang anggota polis menjalankan tugas mereka ketika sekatan jalan raya semasa Ops Covid-19 mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.

Artikel Berkaitan:

Bapa dua anak itu turut didakwa kerana tidak mematuhi isyarat yang diberikan oleh anggota polis yang mengkehendakinya atau kenderaannya berhenti semasa sekatan jalan raya juga pada masa dan tempat sama mengikut Seksyen 26 (2) Akta Polis 1967 yang membawa hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda RM1,000 atau kedua-duanya.

Tertuduh juga didakwa mencuri sebuah kereta Toyota Velfire milik syarikat Dragon Alliance Sdn Bhd yang dilaporkan hilang pada 9.08 malam, 11 Februari lalu hingga 6.30 pagi, 12 Februari lepas di kawasan letak kenderaan lot Hotel Iconic, Bukit Tengah di sini mengikut Seksyen 379A (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Weng Hui turut didakwa bersama rakannya iaitu Ong Yung Shenn Billy, 30, atas tuduhan bersama-sama dalam milikan mereka pelbagai peralatan yang disyaki digunakan untuk mencuri kenderaan serta gagal memberikan keterangan munasabah ke atas barang terbabit di laluan keluar Plaza Tol Jawi, Nibong Tebal juga pada 12.20 tengah malam, 19 April lalu mengikut Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil Tahun 1955 yang membawa hukuman denda RM1,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya.

Selain itu, Weng Hui dan Shenn Billy juga didakwa memiliki sepucuk pistol jenis semi-auto berwana perak dengan ‘hand grip’ berwarna hitam tertera pada laras jenama Pietro Beretta/Mod 9 compact L-CAL, 9mm Parabellum patented iaitu sepucuk pisol jenis 'air gun' tanpa lesen yang sah juga pada masa dan tempat sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya serta turut didakwa pada masa dan tempat sama mempamerkan pada kenderaan yang dipandu dengan nombor plat KEN 44 yang bukan kepunyaan kenderaan tersebut.

Bagi kesalahan itu mereka berdepan hukuman denda RM20,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya di bawah Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Shenn Billy turut menghadapi pertuduhan melanggar PKP dengan bergerak keluar dari rumahnya dari Kampung Baru, Bukit Mertajam ke Laluan Keluar Plaza Tol Jawi, Nibong Tebal.

Majistret, Sri Pracha Nanthini Balabedha membenarkan Weng Hui diikat jamin RM21,200 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan manakala Shenn Billy dibenar ikat jamin sebanyak RM13,200 serta menetapkan 29 Jun untuk sebutan kes bagi serahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Syafiq Nasrullah Saleem Ali.- Bernama