Saya akan ingat sepanjang hayat tarikh 8 Mei: Mujahid

Ismail Kamus
Ismail Kamus
A
A
A

IPOH - Tarikh 8 Mei akan menjadi ingatan sepanjang hayat buat Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof kerana bukan sahaja tarikh kelahiran bapanya, Yusof Rawa tetapi pemergian pendakwah terkemuka, Datuk Ismail Kamus.

Menurut Mujahid, kedua-dua tokoh tersebut memberi kesan kepadanya dari sudut pengertian hidup bersyariat, berzikir sebagai ikhtiar kekuatan dalaman dan mempertahankan kehidupan Islam atas landasan Rahmatan Lil Alamin.

Menurutnya, Ismail mula dikenali secara bersemuka sejak di bangku sekolah pada hujung tahun 70-an apabila ulama itu dijemput berceramah di Masjid Melayu Lebuh Acheh Pulau Pinang atas jemputan Allahyarham Yusof.

"Pada umur persekolahan, saya sudah tertarik dengan gaya kupasannya yang mudah dan bernas. Saya membeli bukunya beberapa tahun kemudian antaranya ialah Hidup Bersyariat. Allahyarham meninggalkan bekas mendalam kepada ramai rakyat Malaysia dan antara perintis awal era kesedaran Islam di Malaysia sejak 70-an lagi.

"Majlis ilmunya memenuhi masjid dan majlis resmi menjelaskan bagaimana cara hidup Islam dipraktikkan. Suara umpama permata itu sudah tiada pada hari ini, hari ke-15 umat Islam berpuasa," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Mujahid berkata, tarikh 8 Mei yang merupakan hari kelahiran Allahyarham bapanya, Yusof sentiasa tersemat dalam ingatan kerana sentuhan didikannya amat mendalam kepada mereka 11 beradik.

Menurut beliau, bapanya pernah bertugas sebagai wakil Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York tahun 1973, menjadi timbalan menteri pada tahun 1974 dan 1975 serta dilantik Duta Besar Malaysia ke Iran pada tahun 1976 hingga 1979.

Katanya, sebagai bekas Presiden dan Mursyidul Am Pas, Allahyarham amat merendah diri, tetapi tegas dengan prinsip Islam sederhana dan menolak sebarang ideologi keras serta takfiri.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, menarik tentang Ismail dan Yusof ialah mereka amat menitikberatkan zikrullah sebagai asas kekuatan.

"Ayahanda Yusof Rawa sering ingatkan kami tentang perlunya solat dijaga, zikir sentiasa membasahi bibir dan jangan berhenti dari melakukan kebaikan kepada manusia.

"Datuk Ismail Kamus dalam banyak nasihat kepada anak muridnya tidak ketinggalan mengingatkan perkara yang sama dan secara khusus menyebut banyakkan sedekah dalam kehidupan," katanya.

Beliau berkata, kehilangan Ismail pada hari ini pasti terpahat di dalam jiwa seluruh rakyat yang mengenali sosok tersebut di ambang semua sedang memasuki era kebiasaan baharu manakala tarikh kelahiran Yusof pada hari yang pula adalah ingatan kepada corak perjalanan kehidupan akan datang.