Dua rakan didenda RM3,000 curi tong gas, ingkar PKP

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua rakan masing-masing didenda RM3,000 atau penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret Selayang hari ini kerana mencuri 20 tong gas milik sebuah restoran dan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa keempat.

Majistret, Nur Hafizah Rajuni menjatuhkan hukuman itu terhadap peniaga buah-buahan Sarmanefendi Yunaidi, 27, dan pekerja kedai makan Muhammad Syifa’a Salahudin, 29, selepas mereka mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan itu.

Bagi pertuduhan mencuri tong gas, mereka didenda RM2,000 atau penjara tiga bulan manakala denda RM1,000 atau penjara tiga bulan bagi kesalahan melanggar PKP.

Mereka didakwa mencuri 20 tong gas bernilai kira-kira RM1,200 milik Restoran Sin Kee di Jalan SG 1/10 Taman Perindustrian Bolton, Gombak di sini pada 8.30 pagi 30 April lepas mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian pengadu yang merupakan pemilik restoran tersebut mendapati 20 tong gas yang diletakkan di bahagian luar tepi kedainya telah hilang dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan itu mendapati kedua-dua tertuduh telah memotong rantai besi yang dipasang pada tong gas berkenaan.

Sarmanefendi dan Muhammad Syifa’a juga mengaku dengan sengaja berada dalam kawasan tempat jangkitan tanpa sebarang alasan munasabah mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 di Selayang Makmur pada 6.30 petang 1 Mei lepas dan dihukum mengikut Peraturan 11 peraturan sama yang membawa hukuman maksimum denda RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Khairunnisak Hassni memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran manakala peguam Erni Ahmad dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon hukuman denda minimum atas alasan kedua-dua tertuduh telah insaf.

Di mahkamah sama, tujuh lelaki berumur 18 hingga 33 tahun masing-masing didenda RM900 atau penjara sebulan selepas mereka mengaku bersalah berhimpun bagi maksud sosial dengan minum arak di persimpangan Jalan E5/10 Taman Ehsan, Gombak di sini pada 7.30 petang, 5 April lepas.

Artikel Berkaitan:

Khairunnisak memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran manakala Erni yang mewakili tujuh lelaki itu memohon hukuman denda minimum kerana anak guamnya telah insaf.

Di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, dua lelaki rakyat Indonesia Ivan Maulana, 29, dan Rudi Mohamad Zahir, 40, dipenjara seminggu selepas mengaku melanggar PKP dengan bergerak dari rumah ke sebuah restoran di kawasan lain di sini pada 11.40 malam 29 April lepas.

Majistret, Mohammad Aizat Abdul Rahim memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman penjara mulai tarikh mereka ditangkap iaitu pada 29 April selepas Ivan dan Rudi tidak mampu membayar denda.

Di mahkamah sama, 19 individu termasuk dua wanita didenda antara RM500 dan RM800 atau penjara seminggu selepas mengaku berhimpun serta bergerak dari satu tempat ke tempat lain dengan pelbagai alasan antaranya berjoging, mahu menyerahkan dokumen kerja, membuang sampah dan ingin meminjam duit.

Kesemua tertuduh yang berusia lingkungan 20 hingga 66 tahun, didakwa melakukan perbuatan itu di sekitar Setapak, Dang Wangi dan Jalan Tun Sambanthan di sini antara 20 April dan 1 Mei lepas.

Di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, 17 individu termasuk dua wanita warga Indonesia dan lima lelaki terdiri daripada rakyat Thailand, Bangladesh, Nepal dan India didenda antara RM400 hingga RM1,000 dan penjara sebulan selepas mengaku melanggar PKP antara 18 April dan 29 April lepas di sekitar Petaling Jaya.

Ketika ditanya Majistret, Zhafran Rahim Hamzah sebab mereka keluar rumah sewaktu PKP sedang berkuat kuasa, antara alasan yang diberikan tertuduh ialah mahu menghantar juadah berbuka puasa, ke pejabat pos dan membeli barang keperluan.- Bernama