Pengamal media antara penerima BKSS 3.0

Abang Johari
Abang Johari
A
A
A

KUCHING - Kerajaan Sarawak hari ini mengumumkan fasa ketiga pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS 3.0) berjumlah RM300 juta bagi membantu beberapa lagi kumpulan rakyat negeri ini yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

Pakej BKSS 3.0 yang diumumkan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg itu antara lain turut menyediakan bantuan khas secara ‘one-off’ sebanyak RM1,500 kepada kira-kira 500 pengamal media yang dianggap sebahagian daripada petugas barisan hadapan di negeri ini.

“Kerana anda (pengamal media di barisan hadapan) inilah juga menghadapi risiko seperti petugas lain di barisan hadapan dan wajar untuk menerima bantuan ini,” katanya dalam sidang media di sini.

Menurutnya kerajaan negeri melaksanakan pakej BKSS 3.0 sebagai susulan kepada bantuan-bantuan di bawah BKSS yang pertama melibatkan peruntukan RM1.15 bilion diumumkan 23 Mac lepas, diikuti BKSS 2.0 pada 10 April lepas berjumlah RM1.11 bilion.

“Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita sangat prihatin dengan cabaran dan kesukaran yang dihadapi oleh rakyat,” katanya.

Abang Johari berkata, di bawah BKSS 3.0, terdapat tujuh langkah yang lebih inklusif dengan satu daripadanya adalah penyaluran bantuan pembayaran secara tunai sebanyak RM1,500 kepada kira-kira 30,000 ketua isi rumah yang sebelum ini tidak tersenarai untuk BKSS yang pertama sebelum ini.

Bayaran tunai secara ‘one-off’ sebanyak RM500 juga diberikan kepada 377,806 individu bujang yang berumur 21 tahun ke atas yang berpendapatan bawah RM2,000 sebulan.

Selain itu, golongan penjaja dan peniaga kecil berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang sebelum ini mendapat geran khas berjumlah RM1,500 menerusi BKSS 2.0 akan mendapat geran khas tambahan berjumlah RM750 dari BKSS 3.0.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut mengumumkan elaun bulanan khas sebanyak RM200 untuk 358 anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia, 870 petugas PBT, 887 petugas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan 500 petugas Angkatan Pertahanan Awam Malaysia di Sarawak.

“Kerajaan Sarawak prihatin dengan nasib pengusaha penambang (perahu tambang di Sungai Sarawak yang terjejas pendapatan mereka). Bantuan tunai secara ‘one-off’ iaitu sebanyak RM500 akan diberi kepada pemilik dan pengendali penambang berdaftar,” katanya.