Restoran terapung Kampung Senibong musnah terbakar

Restoran terapung yang popular dengan asam pedas dan makanan laut musnah dalam kebakaran di Kampung Senibong, Permas, Pasir Gudang, Johor hari ini.
Restoran terapung yang popular dengan asam pedas dan makanan laut musnah dalam kebakaran di Kampung Senibong, Permas, Pasir Gudang, Johor hari ini.
A
A
A

PASIR GUDANG - Sebuah restoran terapung di tepi laut yang terkenal di daerah ini terutama dalam kalangan pelancong Singapura musnah dalam satu kebakaran di Kampung Senibong, Permas, di sini hari ini.

Kejadian di restoran yang popular dengan masakan asam pedas dan makanan laut itu berlaku kira-kira jam 6 pagi disedari penduduk setempat sebelum cuba memadam kebakaran tetapi tidak berjaya kerana api marak dengan cepat.

Pemiliknya, Yaakob Shahadan, 76, berkata, kejadian tersebut dimaklumkan anaknya selepas baru sahaja selesai solat Subuh sebelum bergegas ke restoran tersebut namun beliau dan anaknya tidak dapat berbuat apa-apa.

"Saya reda dengan ketentuan ini dan menganggapnya sebagai ujian dalam bulan Ramadan walaupun hilang punca pendapatan. Restoran ini tidak dibuka sejak arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa pada 18 Mac lalu.

"Saya sudah berniaga di sini sejak 2011 dan kerugian dianggarkan lebih RM200,000," katanya yang lebih dikenali sebagai Pak Akob dalam kalangan penduduk setempat ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.

Beliau yang Ketua Kampung Senibong dan Pengerusi Koperasi Warisan Senibong berkata, selain restoran kayu tersebut turut terbakar bangunan koperasi dalam kawasan tersebut.

Sementara itu, seramai 17 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya dan BBP Pasir Gudang dengan dua buah jentera Fire Rescue Team (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan jam 6.14 pagi.

Ketua Operasinya, Timbalan Penguasa Bomba II Tahrin Saat berkata, apabila sampai kebakaran sudah memusnahkan hampir 80 peratus kedai tersebut.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kebakaran dapat dikawal dan operasi tersebut tamat sepenuhnya pada jam 8.21 pagi, punca dan kerugian sebenar masih dalam siasatan.