Long Tiger didakwa pecah amanah wang RM3,500

Long Tiger atau nama sebenarnya Abdul Hamim Abdul Hamid, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azrul Darus.
Long Tiger atau nama sebenarnya Abdul Hamim Abdul Hamid, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azrul Darus.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki etnik Rohingya dikenali sebagai Long Tiger dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ampang di sini hari ini atas dua pertuduhan pecah amanah wang RM3,500 milik pesara yang sepatutnya digunakan untuk membeli barang keperluan memasak dan ubah suai kedai.

Long Tiger atau nama sebenarnya Abdul Hamim Abdul Hamid, 31, dari Tangkak, Johor mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azrul Darus.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, Abdul Hamim, yang merupakan pengurus kedai makan, yang diamanahkan dengan harta iaitu wang masing-masing berjumlah RM2,000 dan RM1,500 milik Yazid Maarof, 69, didakwa telah melakukan pecah amanah terhadap wang berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Ramai tampil lapor jenayah Long Tiger: Ayob Khan

Long Tiger dibebaskan esok

Long Tiger ditahan semula terlibat kes pemerasan

Berdasarkan pertuduhan, wang itu sepatutnya digunakan untuk membeli barang-barang keperluan memasak, modal pusingan untuk berniaga dan mengubah suai serta baik pulih kedai makan di Desa Jaya, Kepong.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Taman Keramat Permai, di sini, pada jam 4 petang, antara 2 dan 5 Jan 2017.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Timbalan Pendakwa Raya Nur Intan Syakieraah Zakaria tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan dilakukan tertuduh tidak boleh dijamin.

“Kewarganegaraan tertuduh masih belum disahkan. Dia tidak mempunyai kad pengenalan asal cuma kad pengenalan sementara dan ada risiko untuk tertuduh melarikan diri,” katanya.

Peguam Muhammad Hariz Md Yusoff, yang mewakili Abdul Hamim memohon jaminan diberikan terhadap anak guamnya atas alasan tertuduh mempunyai keluarga dan restoran di Bukit Gambir, Johor serta tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri.

Beliau memohon jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin dan turut memberitahu anak guamnya telah dituduh di Mahkamah Majistret Tangkak bagi kesalahan di bawah Seksyen 388 Kanun Keseksaan dan diberi jaminan RM8,000 dengan dua orang penjamin.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 1 Julai depan untuk sebutan semula kes.- Bernama