Rumah ibadah dibuka penuh kegembiraan nanti, tweet Zulkifli

Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri telah mengadakan pertemuan bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, hari ini.

Perkara itu dimaklumkan beliau menerusi ciapan di Twitter, hari ini dengan menyatakan ucapan terima kasih kepada Dr Noor Hisham kerana meneliti garis panduan berhubung pelaksanaan aktiviti keagamaan.

“Terima kasih kepada Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, KP Kesihatan atas kesudian untuk meneliti garis panduan bagi pelaksanaan aktiviti keagamaan dan surau yang akan dibentangkan dalam Mesyuarat Khas JK Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI),” tulisnya.

Foto ciapan di Twitter Menteri Agama
Foto ciapan di Twitter Menteri Agama

Dalam bebenang menerusi ciapan yang sama, beliau berkata, pihaknya akan menerima nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkenaan tarikh pelaksanaannya.

“Soal bilakah masa yang sesuai untuk pelaksanaannya, kita berpandukan kepada nasihat dan saranan KKM selaku pihak yang berkepakaran. ⁣

“Akan tiba masanya satu hari nanti, semua rumah ibadah akan dibuka dan kita kembali mengimarahkannya dengan penuh kegembiraan dan keinsafan,” kata beliau.

Ciapan berkenaan memberikan gambaran kepada netizen bahawa keadaan dalam negara akan kembali pulih secara berperingkat tidak lama lagi berhubung wabak koronavirus (Covid-19).

Artikel Berkaitan:

Setakat ini ciapan Zulkifli itu mendapat 959 ulang kicau dan 3,100 tanda suka.