Bicara kes 1MDB Najib sambung semula 18 Mei

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Selepas ditangguhkan selama dua bulan, perbicaraan kes berprofil tinggi membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang menghadapi tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bernilai RM2.3 bilion akan disambung semula pada 18 Mei ini.

Kali terakhir prosiding perbicaraan yang mendapat liputan meluas itu adalah pada 13 Mac lepas, di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah.

Mahkamah sebelum ini telah menetapkan tarikh perbicaraan kes 1MDB pada bulan Mac iaitu 19 hingga 20, 23 hingga 27 dan 30 hingga 31; April 1 hingga 30; dan Mei 4 hingga 8, 11 hingga 22 termasuk hari Jumaat.

Tarikh lain perbicaraan yang ditetapkan adalah sepanjang bulan Jun, Julai, Ogos, September dan Oktober termasuk Jumaat.

Bagaimanapun, prosiding perbicaraan itu beberapa kali ditangguhkan ekoran kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Dalam perkembangan terbaharu, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib memberitahu perbicaraan yang dijadualkan selama tiga hari bermula Rabu depan juga turut ditangguhkan.

"Semalam, kami menerima e-mel daripada Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Farah Azura Mohd Saad yang memaklumkan bahawa perbicaraan itu telah dilapangkan sehingga 18 Mei," katanya menerusi mesej WhatsApp.

Apabila perbicaraan itu bersambung semula, peguam utama pasukan pembelaan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dijangka meneruskan pemeriksaan balas terhadap saksi kesembilan pihak pendakwaan, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi yang telah memberi keterangan sejak 23 Sept tahun lepas.

Artikel Berkaitan:

Najib, 67, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.- Bernama