Sultan Selangor zahir ucapan takziah pemergian Ismail Kamus

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM -Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan ucapan takziah di atas pemergian pendakwah terkenal, Datuk Ismail Kamus yang meninggal dunia pada jam 12.29 tengah malam tadi.

Baginda berkongsi berita pemergian itu dan menitipkan doa menerusi satu hantaran di Facebook Royal Selangor Office beberapa jam lalu.

"Ya ALLAH SWT ampunilah dosa-dosanya, kasihanilah ia lindungilah ia dan maafkanlah ia, muliakanlah tempat kembalinya, lapangkan kuburnya, bersihkanlah ia dengan air, salju dan air yang sejuk. Bersihkanlah ia dari segala kesalahan, sebagaimana engkau telah membersihkan pakaian putih dari kotoran.

"Dan gantilah rumahnya di dunia dengan rumah yang lebih baik di akhirat serta gantilah keluarganya di dunia dengan keluarga yang lebih baik dan pasangan di dunia dengan yang lebih baik. Masukkanlah ia ke dalam syurgamu dan lindungilah ia dari seksa kubur atau api negara," potongan doa dikongsikan di Facebook itu hari ini.

Terdahulu, jenazah pengasas Persatuan Perubatan Islam Darussalam Malaysia itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan As-Sobirin Lembah Keramat hari ini.

Ismail pernah bertugas sebagai guru, pegawai penyelidik, pegawai dakwah dan bertugas selama 15 tahun di pelbagai jabatan seperti di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dan Pusat Islam.

Allahyarham juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia selama sepenggal pada 1999 hingga 2004 dan pernah memegang jawatan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Dalam perkembangan sama, Badan Perhubungan Pas Selangor turut merakamkan ucapan takziah yang dikongsikan di Facebook Pas Selangor hari ini.

Artikel Berkaitan:

"Ucapan takziah kepada ahli keluarga, sahabat handai, anak-anak murid beliau dan seluruh umat Islam yang mengenalinya.

"Almarhum pernah menjawat jawatan Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor suatu ketika dan menjadi ADUN Pas di Gombak Setia. Semoga ALLAH SWT mencucuri rahmat dan mengampun segala dosa serta menempatkan Almarhum bersama para solihin," memetik perkongsian di Facebook itu.