Beli tiket feri online elak kesesakan

Antara kaunter tiket feri di Langkawi. -Foto Sumber Internet
Antara kaunter tiket feri di Langkawi. -Foto Sumber Internet
A
A
A

LANGKAWI - Orang ramai yang ingin menggunakan perkhidmatan feri dari Terminal Feri Penumpang Kuah ke Kuala Kedah atau Kuala Perlis disaran membuat pembelian dalam talian bagi mengelak kesesakan di kaunter tiket.

Pengurus Sumber Manusia dan Operasi, Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Kapten Baharin Baharom berkata, menerusi pembelian dalam talian juga orang ramai boleh merancang perjalanan dengan lebih baik.

Beliau berkata, pihaknya juga kecewa kerana pembelian tiket dalam talian yang direkodkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hanya kira-kira lapan peratus sahaja.

“Penumpang yang membeli tiket di kaunter diwajibkan mengisi borang Maklumat Penumpang yang disediakan oleh Jabatan Laut Malaysia.

“Bagi pembelian dalam talian, setiap maklumat yang diperlukan oleh kerajaan telah direkodkan dalam sistem dan pengguna akan terus memasuki feri tanpa perlu bersesak-sesak di kaunter tiket,” katanya kepada Bernama hari ini.

Baharin berkata, pembelian tiket dalam talian boleh dilakukan di laman sesawang www.langkawiferryline.com atau melalui Aplikasi Mobile App Langkawi Ferry Line.

Tinjauan Bernama di Terminal Feri Penumpang Kuah mendapati masih ramai penumpang beratur di kaunter untuk mendapatkan tiket berbanding membeli menerusi laman sesawang atau aplikasi.

Sementara itu, Baharin tidak menolak kesesakan berlaku di kaunter tiket turut disebabkan oleh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Artikel Berkaitan:

“Dalam tempoh PKP, jumlah penumpang yang menggunakan perkhidmatan feri ke Kuala Kedah atau Kuala Perlis hanya sekitar 30 hingga 60 orang sahaja setiap perjalanan, tetapi jumlah meningkat selepas PKPB.

“Namun begitu Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam tempoh PKPB tetap diberi perhatian. Sebagai contoh, tiket yang dijual hanya separuh berbanding muatan penuh feri dan tempat duduk penumpang dijarakkan,” katanya.- Bernama