X

Kindly register in order to view this article
!

Durian laku waktu PKP!

Muhamad Al Amin berada di hadapan di gerainya di Jalan Naka, Pokok Sena.
A
A

POKOK SENA - Seorang penjual durian di Jalan Naka, dekat sini tidak menyangka Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak 18 Mac lalu telah membantu meningkatkan jualannya sehingga satu tan, sehari.

Muhamad Al Amin Ghazali, 32 berkata, sebelum ini jualan raja buah itu hanyalah biasa sahaja namun tahun ini adalah jualan paling tinggi dicatatkan dan merupakan sejarah untuk dirinya sejak berniaga 10 tahun lalu.

Menurutnya, selain mendapat hasil yang lumayan, dia juga mampu berkongsi rezeki dengan orang lain apabila menggajikan enam pekerja terdiri daripada belia untuk membantunya.

"Saya mula berniaga pada 13 April selepas dimaklumkan bahawa Thailand mula mengeksport buah durian ke negara ini. Saya tidak sangka setiap hari semasa PKP pelanggan datang ke gerai tidak putus-putus bermula jam 10 pagi sehingga jam 6.30 petang.

"Antara durian yang mendapat permintaan adalah jenis D15 atau dikenali sebagai ceni atau telur buaya. Satu lagi jenis adalah D99 atau dikenali kancing baju di kalangan penggemar buah ini," katanya.

Muhamad Al Amin turut berkongsi rezeki dengan menyerahkan buah durian kepada Pegawai Bomba Kanan PBK II, Samsari Ibrahim (kiri) bersama anggotanya untuk berbuka puasa di Balai Bomba Pokok Sena.
Muhamad Al Amin turut berkongsi rezeki dengan menyerahkan buah durian kepada Pegawai Bomba Kanan PBK II, Samsari Ibrahim (kiri) bersama anggotanya untuk berbuka puasa di Balai Bomba Pokok Sena.

Muhamad Al Amin berkata, pada awalnya dia mengakui tidak berani mengimport buah tersebut dalam kuantiti yang banyak disebabkan PKP membataskan pergerakan orang ramai namun sebaliknya orang ramai mengunjungi gerainya.

"Selain jualan secara langsung di gerai ini, saya juga menjual durian dalam talian dan akan menghantar kepada pelanggan yang tinggal tidak jauh dari sekitar kawasan ini," katanya.

Sempena bulan Ramadan ini, bekas kontraktor itu juga mengamalkan konsep sedekah dan nyata apa yang cuba dilakukannya itu membuatkannya rasa lebih tenang dan gembira.

"Setiap kilogram (kg) buah durian dijual antara RM18 sehingga RM30 dan harganya bergantung kepada jenis durian. Jika harga sebiji buah durian mencecah sehingga RM33, saya jual pada harga RM30 sahaja. Mana-mana buah yang rosak, saya akan ganti kepada pelanggan dengan buah yang baru,"katanya lagi.

Tambahnya, bukan keuntungan yang dikejar semata-mata sebaliknya mahu berkongsi rezeki dan melihat pelanggannya berpuas hati dengan perkhidmatan dan buah durian yang dijual olehnya.

Disebabkan permintaan yang tinggi, kira-kira empat tan durian diimport dari Thailand setiap tiga hari sekali bagi memenuhi permintaan pasaran setempat dan juga penduduk yang melalui kawasan tersebut.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!