X

Kindly register in order to view this article
!

Pendakwah terkenal Ismail Kamus selamat dikebumikan

Bagi menghormati permintaan keluarga dan pihak berkuasa, orang awam dikehendaki berada di pagar dan tidak dibenarkan masuk ke kawasan tanah perkuburan islam sepanjang pengebumian tokoh agama, Datuk Ismail Kamus berlangsung.
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Jenazah pendakwah terkenal, Datuk Ismail Kamus selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam As-sobirin di Taman Lembah Keramat AU4, jam 11 pagi tadi.

Terdahulu, solat jenazah dipimpin oleh Menteri Alam Sekitar Dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, pada jam 10 pagi di Masjid As-sobirin.

Selesai solat jenazah, ahli keluarga, rakan-rakan dan penduduk setempat mengiringi jenazah ke tanah perkuburan yang terletak satu kilometer dari masjid tersebut.

Sepanjang upacara pengebumian itu berlangsung, hanya ahli keluarga dan rakan terdekat dibenarkan untuk memasuki tanah perkuburan tersebut.

Pihak polis dan Unit Amal Pas turut kelihatan mengawal keadaan di sekeliling tanah perkuburan itu bagi memastikan semua pelawat akur dengan peraturan yang ditetapkan antaranya mematuhi jarak sosial di kawasan berkenaan.

Terdahulu, pendakwah terkenal itu disahkan meninggal dunia di rumahnya di Ampang, jam 12.30 tengah malam tadi.

ARTIKEL BERKAITAN: Ustaz Ismail Kamus meninggal dunia

Allahyarham yang meninggal dunia pada usia 72 tahun, pernah dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung, strok ringan dan jangkitan kuman di paru-paru.

Pada 9 Mei tahun lalu pula, Allahyarham yang juga Pengasas dan Penasihat Pusat Rawatan Islam Darussalam Malaysia dilaporkan menjalani pembedahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN), dekat sini.

Bagaimanapun, ahli veteran Pas itu dimasukkan ke hospital sejak 26 April lalu, selepas tahap kesihatannya yang semakin menurun.

Umum mengenali Allahyarham sebagai perunding motivasi dan pendakwah bebas dengan memberi ceramah agama di seluruh dunia seperti Brunei Darussalam, Indonesia, Thailand, Singapura, United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada dan negara Asia Barat.

Kelihatan seorang lelaki berdoa di kubur Allahyarham Ismail.
Kelihatan seorang lelaki berdoa di kubur Allahyarham Ismail.

Allahyarham yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia selama sepenggal pada 1999 hingga 2004, turut pernah memegang jawatan penting yang lain, antaranya Ahli Jawatankuasa Pas Pusat.

Anak jati Kampung Batang Rening, Ulu Selangor ini dilahirkan pada 2 Disember 1948, dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Arab Batang Kali.

Allahyarham kemudiannya melanjutkan pengajian di Ma'ahad Hisyamuddin, Klang yang mana salah seorang gurunya merupakan ulama terkenal iaitu Asy-Syeikh Mahmood al-Arif al-Bukhori.

Seterusnya, arwah melanjutkan pelajaran ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan mendapat ijazah Sarjana Muda Syariah dengan kepujian pada 1976.

Tokoh agama negara ini juga pernah menuntut di Beaver College Pennsylvania, Amerika Syarikat.

Berbekalkan ilmu dan kelulusan pendidikannya, Allahyarham diterima untuk menggalas tanggungjawab sebagai guru, pegawai penyelidik dan pegawai dakwah.

Beliau juga berkhidmat selama 15 tahun di pelbagai jabatan antaranya di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dan Pusat Islam.

Di akhir kerjayanya, Allahyarham dilantik menjadi Pakar Rujuk di Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS) Pusat Islam.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!