21 gelandangan ditawarkan bekerja: Annuar

Gelandangan yang ditempatkan di penempatan sementara gelandangan menjalani Program Persediaan Kerjaya Dan Temuduga Kerja Selasa lalu.
Gelandangan yang ditempatkan di penempatan sementara gelandangan menjalani Program Persediaan Kerjaya Dan Temuduga Kerja Selasa lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 21 daripada 72 orang gelandangan yang menghadiri sesi temuduga program penempatan pekerjaan dijalankan oleh tiga syarikat diterima bekerja bermula 13 Mei ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, temuduga itu telah dijalankan oleh syarikat Adabi Consumer Industries Sdn Bhd, Hartalega NGC Sdn Bhd dan Harumi Brands Sdn Bhd baru-baru ini.

Menurutnya, baki 51 orang gelandangan yang belum ditawarkan bekerja akan menjalani temuduga bersama majikan lain pada masa terdekat ini.

"Sebanyak sembilan syarikat termasuk Top Glove Sdn Bhd, Tesco Malaysia dan Trendcell Sdn Bhd memenuhi kriteria Jabatan Tenaga Kerja Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) serta mematuhi syarat prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

"Kesemua syarikat ini akan menyediakan kemudahan tempat tinggal, mematuhi Perintah Gaji Minima di bawah Perintah Gaji Minimum 2020, mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan di bawah Akta Kerja 1955," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Annuar Musa
Annuar Musa

[ARTIKEL BERKAITAN] - Gelandangan ditawar kerja selepas PKP: Annuar

Katanya, gelandangan ini juga turut memperoleh kemudahan lain seperti cuti tahunan, cuti sakit, cuti bergaji, bayaran lebih masa dan lain-lain peruntukan di bawah akta tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga menjadi salah satu syarat yang diwajibkan.

"Dijangka program ini akan memberikan peluang pekerjaan kepada lebih 300 orang gelandangan bagi fasa pertama, " katanya.

Selain itu katanya, sebuah syarikat pembuatan sarung tangan juga sedang mengusahakan satu program khas yang membolehkan kerja pembungkusan barangan dibuat Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur dan di Anjung Singgah melibatkan 70 gelandangan yang akan mengikuti program itu

Terdahulu, Kementerian Wilayah Persekutuan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Tenaga Kerja Wilayah WPKL melaksanakan Program Persediaan Kerjaya Dan Temuduga Kerja sebagai satu usaha untuk mengubah kehidupan gelandangan di ibu kota.

Program itu turut menawarkan peluang latihan kemahiran di Pusat Giat Mara dan Institut Latihan Perindustrian Kuala Lumpur.

Sebelum ini sebanyak 12 Penempatan Sementara Gelandangan dibuka sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sehingga semalam sebanyak 753 orang gelandangan terdiri 670 lelaki, 79 wanita dan empat kanak-kanak masih ditempatkan di sana.