PPM rampas 1,340 bungkus rokok seludup di Kudat

A
A

KUDAT - Pasukan Polis Marin (PPM) Kudat merampas 1,340 bungkus kecil rokok seludup pelbagai jenis dalam Op Landai Khas di kawasan jeti feri Kudat-Banggi, dekat sini semalam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Mohamad Pajeri Ali berkata pada 2 petang semalam, anggota PPM menahan sebuah kenderaan yang mencurigakan di kawasan berkenaan, berpandukan maklumat risikan.

"Hasil pemeriksaan terhadap kenderaan yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun mendapati terdapat pelbagai jenis rokok tidak berkastam termasuk rokok jenis Era dan Premium yang kesemuanya berjumlah 1,340 bungkus," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata suspek bersama rampasan berkenaan kemudiannya dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Kudat untuk tindakan lanjut.

Katanya kesemua nilai rampasan termasuk rokok dan kenderaan berkenaan dianggarkan berjumlah RM59,900 dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967. -Bernama