'Ingatkan meriam, rupanya rumah kena hempap'

Mohd Bakri menunjukkan bumbung rumahnya ranap ditimpa pokok kelapa dalam kejadian di Kampung Teluk Rhu di sini pagi semalam
Mohd Bakri menunjukkan bumbung rumahnya ranap ditimpa pokok kelapa dalam kejadian di Kampung Teluk Rhu di sini pagi semalam
A
A
A

SUNGAI AIR TAWAR - Seorang lelaki tidak menyangka bunyi kuat seperti meriam rupanya pokok kelapa setinggi 18 meter yang tumbang lalu menghempap rumah bapa mentuanya dalam kejadian di Kampung Teluk Rhu di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 9 pagi itu, Mohd Yusri Yusof, 37, sedang melayari Internet dan berada di ruang tamu tingkat bawah rumah berkenaan.

Menurut Mohd Yusri, kejadian berlaku dengan pantas dan bunyi yang didengarnya itu terlalu kuat ketika pokok kelapa itu menghempap rumah separa kayu tersebut.

"Selepas dengar bunyi dentuman itu, saya terasa rumah seolah bergegar dan terkejut mendapati tingkat atas rumah ditimpa pokok kelapa berusia 56 tahun," katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu bapa mentuanya, Mohd Bakri Rebin berkata, dia baharu melelapkan mata selepas bertadarus al-Quran di sebuah bilik sebelum terkejut mendengar bunyi dentuman itu.

Bagaimanapun, kata warga emas berusia 73 tahun itu, dia bersyukur kerana sembilan ahli keluarga termasuk anak, menantu dan cucu berada di rumah itu tidak mengalami kecederaan.

Katanya, dugaan menimpa mereka sekeluarga itu merupakan kejadian kali kedua selepas bumbung kediamannya pernah diterbangkan angin dalam kejadian ribut pada Februari lalu.

"Walaupun bersyukur tiada sebarang perkara buruk terjadi kepada keluarga saya, namun perasaan sedih tetap ada terutama menjelang Aidilfitri tidak lama lagi.

Artikel Berkaitan:

"Saya baru sahaja baik pulih bumbung rumah dalam beberapa minggu ini selepas rosak teruk dilanda ribut, kini dugaan baharu pula datang kepada kami sekeluarga," katanya.