Dua Rohingya maut bertembung lori ikan

 Orang ramai mengerumuni lokasi kemalangan (Foto: ihsan pembaca)
Orang ramai mengerumuni lokasi kemalangan (Foto: ihsan pembaca)
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Dua sahabat maut selepas motosikal dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori membawa muatan ikan di Jalan Kampung Pengkalan Setar di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 12.15 tengah malam itu, kedua-dua mangsa yang juga etnik Rohingya, Mohamad Ilyas Dil Mohamad, 24, dan rakannya Abu Siddiq Mohd Husson, 19, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Terengganu, Superintendan Abd Razak Hasan berkata, lori jenis Hicom dipandu seorang lelaki berusia 46 tahun bersama kelindannya, 27, dari arah Kampung Gelugor Kedai menghala ke arah Kampung Atas Tol di sini.

"Difahamkan mereka dalam perjalanan pulang selepas menghantar muatan ikan ke Pasar Borong Gong Pauh, di sini dan setibanya di selekoh jalan Kampung Pengkalan Setar, kenderaan berat itu bertembung dengan motosikal jenis Honda Wave Dash dinaiki kedua-dua mangsa dari arah Kampung Atas Tol di sini.

"Motosikal berkenaan dipercayai terbabas sebelum memasuki laluan lori tersebut.

"Disebabkan jarak yang terlalu dekat, pemandu lori tidak sempat mengelak lalu kedua-duanya bertembung di bahagian hadapan mengakibatkan penunggang dan pembonceng meninggal dunia di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, pemandu lori dan kelindan pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini untuk proses bedah siasat.

Artikel Berkaitan:

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai dan melulu hingga menyebabkan kematian,” katanya.