Hampir 1,000 tan sampah dalam masa 2 minggu

Mohd Alias (tiga, kiri) bersama Ahli Majlis MBI turut sama bergotong-royong membersihkan kawasan sekitar Taman Impiana Adril, di sini.
A
A

IPOH - Masalah longgokan sampah haram di bandar raya ini terus berlaku biarpun pelbagai usaha dilakukan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) pada tahun lalu untuk mengatasinya.

Pengarah Kesihatan Bandar raya MBI, Mohd Alias Kamaruddin berkata, dalam tempoh dua minggu tahun ini, sejumlah 975 tan sampah dibersihkan oleh MBI membabitkan 195 lokasi di sekitar bandar raya.

Menurutnya, secara keseluruhan terdapat 1,672 lokasi sampah haram yang dikenalpasti dengan kes pembuangan sampah haram dikesan berulang dan berlaku dalam tempoh beberapa jam selepas dibersihkan.

"Tanggungjawab menjaga kebersihan bandar raya Ipoh ini bukan sahaja dipikul MBI. Semua warga kota perlu bertanggungjawab memastikan kawasan tempat tinggal mereka sentiasa bersih.

"Mereka perlu saling tegur menegur antara satu sama lain jika ada individu atau pihak tertentu yang membuang sampah di tempat yang tidak sepatutnya," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Gotong-Royong Peringkat MBI di Taman Impiana Adril, Menglembu, di sini.

Dalam pada itu, Mohd Alias berkata, warga bandar raya ini juga dialu-alukan membuat laporan kepada MBI jika mendapati mana-mana individu atau syarikat yang membuang sampah di luar kawasan ditetapkan untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, gambar individu atau syarikat yang membuang sampah haram itu boleh terus disalurkan ke bahagian penguat kuasa dan tindakan kompaun akan dikenakan kepada individu mahupun syarikat berkenaan.

Sementara itu mengenai program gotong-royong berkenaan, Mohd Alias berkata, seramai 500 orang terlibat di dalam program tersebut yang turut dihadiri Adun Menglembu, Steven Chaw; Ahli Majlis MBI, Chin Yee Hing dan Chan Wei Sum serta ketua-ketua jabatan MBI.