Bot bawa barangan seludup gagal ke Thailand

PPM Wilayah 1 Langkawi menahan bot tidak bernombor dan suspek di Perairan Tanjung Dendang, Langkawi, semalam. - Foto PPM Langkawi
PPM Wilayah 1 Langkawi menahan bot tidak bernombor dan suspek di Perairan Tanjung Dendang, Langkawi, semalam. - Foto PPM Langkawi
A
A
A

LANGKAWI - Cubaan seorang lelaki warga Thailand menyeludup keluar barang-barang tidak berkastam termasuk daun ketum dan rokok dipatahkan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1 Langkawi di perairan Tanjung Dendang, dekat sini kira-kira jam 10 pagi semalam.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 1, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, pasukannya bertindak menahan dan memeriksa sebuah bot tidak bernombor yang dalam keadaan mencurigakan selepas mendapat maklumat.

Menurutnya, hasil pemeriksaan menemukan 12 karton rokok seludup pelbagai jenama, tiga guni berisi ikan bilis anggaran berat 50 kilogram (kg), 14 kotak dan guni ikan kering pelbagai jenis dengan anggaran berat 200kg, 19 kampit gula, empat paket dan empat botol 1.5 liter minyak masak, serta satu plastik hitam yang berisi disyaki daun ketum dengan anggaran berat 300 gram.

"Kesemua hasil rampasan dianggarkan bernilai RM12,668 termasuk kiraan nilai cukai rokok yang telah dirampas," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Suspek bersama barang-barang yang cuba diseludup keluar dari Malaysia di perairan Tanjung Dendang, Langkawi, semalam.- Foto PPM Langkawi
Suspek bersama barang-barang yang cuba diseludup keluar dari Malaysia di perairan Tanjung Dendang, Langkawi, semalam.- Foto PPM Langkawi

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati tekong bot tersebut ialah seorang lelaki warga Thailand berumur 42 tahun.

"Suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah.

"Suspek telah ditahan dan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, suspek boleh disabitkan kesalahan di bawah Akta Kastam 1967 iaitu kesalahan dengan niat menyeludup keluar barang tidak berkastam.

"Bagi kesalahan memiliki daun ketum, suspek boleh disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta Racun 1952 yang memperuntukkan denda maksimum RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.