Tengok bendera dah menang dah!

Najib dan jentera parti meninjau dan mendekati penduduk di perkampungan Orang Asli moden, Kg Sungai Ruil, pagi ini. Foto: Sharifudin Abdul Rahim.
Najib dan jentera parti meninjau dan mendekati penduduk di perkampungan Orang Asli moden, Kg Sungai Ruil, pagi ini. Foto: Sharifudin Abdul Rahim.
A
A
A

CAMERON HIGHLANDS - "Kalau tengok bendera dah menang ni," seloroh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berkunjung ke perkampungan Orang Asli moden, Kampung Sungai Ruil, hari ini.

Beliau yang tiba jam 8.30 pagi sempat meluangkan masa bersama penduduk Kampung Sungai Ruil sekitar 30 minit ditemani Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan calon BN, Ramli Mohd Nor.

Selepas meninjau sekitar perumahan, beliau meminta agar penduduk menterjemahkan sokongan pada pilihan raya kali ini.

Menurutnya, pembangunan di kampung tersebut merupakan jasa kerajaan BN dengan dana RM44 juta sekaligus menepis dakwaan PH bahawa Orang Asli dipinggirkan semasa pemerintahannya.

"Sungai Ruil merupakan projek teristimewa bagi Orang Asli. Bukan sahaja kos yang besar, RM44 juta tetapi setiap unit itu diberi percuma kepada Orang Asli, tanah dikurniakan kerajaan negeri secara percuma dan nilai satu unit sekarang ini RM 400,000.

"Kalau ada mana-mana pemimpin PH kata BN tak tolong Orang Asli inilah buktinya, tak boleh dinafikan, inilah realiti," katanya kepada pemberita.

Katanya, BN mempunyai perancangan projek pemodenan seterusnya selepas projek rintis di Sungai Ruil berjaya.

"Yalah, perlahan-lahanlah. Jangan buat serentak, buat secara berperingkat. (Tempat) ini 'special' sebab ada musibah berlaku dan ia juga dalam bandar.

Artikel Berkaitan:

"Tempat-tempat lain berperingkat-peringkat , kita ada perancangan. Semua tak boleh jadi 'over night', lokasi kampung bertaburan," katanya.

Penempatan semula perkampungan dengan keluasan 26.3 hentar itu susulan tragedi tanah runtuh yang mengorbankan tujuh penduduk dan meranapkan enam buah rumah pada 7 Ogos 2011.

Terdapat 152 buah rumah jenis berkembar dan rumah komuniti lengkap dengan pelbagai kemudahan termasuk dewan serbaguna, surau, tadika, wakaf, tandas awam, rumah sampah, rumah pam dan tangki air.

Penempatan tersebut mula diduduki suku kaum Semai itu sejak Januari 2016.