Palu beduk sampai sahur

Abd Rahman mengimbau kenangan memalu beduk semasa zaman kecil.
Abd Rahman mengimbau kenangan memalu beduk semasa zaman kecil.
A
A
A

SABAK BERNAM - Kenangan menyambut Ramadan menggamit nostalgia kepada mereka yang sempat merasai kemeriahannya pada sekitar tahun 1970-an.

Kedatangan Ramadan ketika itu amat dinantikan terutama anak muda kerana inilah peluang mereka berkumpul dan melakukan aktiviti memalu beduk sepanjang malam selama sebulan sehingga waktu bersahur.

Selain digunakan secara meluas sebagai 'penggera' pada Ramadan untuk bangun bersahur, beduk juga turut berfungsi sebagai penanda masuk waktu solat dan mengumumkan berita kematian atau bencana.

Ketua UMNO Bahagian Sabak Bernam, Datuk Dr Abd Rahman Bakri berkongsi pengalaman beliau yang pernah merasai sendiri penggunaan alat tradisi itu yang kini ditelan arus kemodenan.

Menurut Abd Rahman, beduk atau lebih dikenali dengan panggilan 'kentung' (ketuk-ketuk) dalam kalangan etnik Jawa sesuatu yang cukup istimewa setiap kali Ramadan.

Katanya, aktiviti memalu beduk itu sesuatu yang dinantikan setiap kali menjelang Ramadan.

"Paluan beduk ini akan memecah kesunyian malam sejurus sahaja selepas solat sunat tarawih sehingga waktu bersahur.

"Aktiviti bermain beduk ini dilakukan sekumpulan 20 hingga 30 anak muda yang membentuk dua atau tiga kumpulan dalam surau sama seolah-olah kami berlawan bunyi antara satu sama lain," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengimbau kenangan itu, Abd Rahman memberitahu, paluan beduk itu didendang dengan irama harmoni yang dimainkan secara turun-temurun dari generasi terdahulu.

"Alunan beduk ini tidak boleh dimainkan sesuka hati, sebaliknya pemain perlu menguasai kemahiran memukul terlebih dahulu.

"Bukan mudah untuk menguasai cara bermain beduk ini, tanpa minat paluan ini tidak akan bergema seperti yang dikehendaki," katanya.

Abd Rahman mencuba memalu beduk dan berkongsi pengalaman beliau yang pernah merasai sendiri penggunaan alat tradisi itu yang kini ditelan arus kemodenan.
Abd Rahman mencuba memalu beduk dan berkongsi pengalaman beliau yang pernah merasai sendiri penggunaan alat tradisi itu yang kini ditelan arus kemodenan.

Ujar bapa kepada empat anak itu, aktiviti itu dilakukannya bersama rakan lain ketika berusia belasan tahun ketika menetap di Kampung Sungai Tengar.

"Tradisi itu menjadi keunikan sejak saya kecil sebagai cara mengejutkan penduduk bangun bersahur.

"Walaupun ketika itu serba kekurangan, kami tetap meraikan acara ketuk-ketuk ini dengan penuh meriah.

"Saya masih ingat lagi waktu itu kebanyakan rumah penduduk tiada bekalan elektrik dan kami hendak ke surau dengan berjalan kaki hanya membawa obor yang diperbuat dari daun kelapa," ujarnya.

Ketua Penerangan UMNO Selangor itu berkata, tradisi ketuk-ketuk dipercayai berasal dari kepulauan Jawa dan Sumatera, Indonesia, yang kemudian meresap menjadi rumpun budaya tradisi masyarakat tempatan.

"Di kampung saya waktu itu, beduk banyak dipengaruhi dari etnik Jawa keturunan Cerbon, Jawa Barat," katanya.

Bagaimanapun, katanya, tradisi itu tidak lagi dimainkan pada zaman sekarang terutama dengan adanya alat pembesar suara di surau dan masjid.

"Kemunculan alat moden seperti telefon bimbit yang dijadikan sebagai penggera jam menyebabkan anak muda semakin melupai aktiviti beduk untuk menggalakkan umat Islam bangun bersahur," katanya.

Selain beduk, Abd Rahman berkata, Ramadan pada zaman kecilnya turut dimeriahkan dengan aktiviti lain seperti permainan galah panjang dan membuat meriam buluh menggunakan batang kelapa.