Pertahan sektor automotif tempatan

A
A
A

SEJAK lima minggu lalu, dunia bola sepak antarabangsa khususnya di England, Itali, Sepanyol, Jerman dan Perancis, tanpa henti membuat pelbagai spekulasi tentang cara untuk menyudahkan musim 2019-2020.

Namun kesan bola di rantau Asia Tenggara akibat pandemik Coronavirus 2019 (Covid-19) tampak hambar. Rantau Asia Tenggara lebih banyak berbicara soal kelangsungan hidup. Tidak terkecuali sektor permotoran. Minggu lalu, ada cerita dari Thailand yang digelar ‘Detroit of Asia’. Ceritanya kurang memberangsangkan kerana industri automotif di negara itu tampak sangat suram selepas pasca Covid-19.

Akhbar berbahasa Inggeris Thailand, The Bangkok Post melaporkan sektor automotif global meliputi penjualan kereta Jepun di Asia Tenggara, menurun sebanyak 34 peratus sejak Mac lalu.

Di Malaysia, belum ada pemain besar sektor automotif tampil menjelaskan situasi terkini. Namun, penganalisis penyelidikan kanan Credit Lyonnais Securities Asia (CLSA), Chris Richter meramal kesan Covid-19 akan menyebabkan pengguna hilang selera untuk membeli kereta baharu.

Setakat ini, belum ada iklan kereta baharu menjelang lebaran yang menggiurkan seperti tahun sebelum ini. Sektor automotif diramal paling teruk terkena penangan Covid-19. Analisis pasca Covid-19 menunjukkan penjualan keseluruhan kereta Toyota, Nissan, Honda dan empat pembuat kenderaan utama Jepun yang lain, hanya 1.82 juta kenderaan pada suku pertama tahun ini berbanding 2.77 juta tempoh sama tahun lalu.

Deutsche Bundesbank atau Bank Pusat Republik Persekutuan Jerman, sebahagian Sistem Bank Pusat Eropah atau European Systems of Central Bank (ESCB), beribu pejabat di Frankfurt melaporkan industri automotif yang selama ini dianggap teras ekonomi benua tersebut, akan mengalami penurunan jualan kepada 17.6 peratus dalam tempoh suku pertama tahun ini.

Senario yang sama turut melanda Rusia.General Motor (GM), pembuat kereta model Opel dan Chevrolet berpengkalan di St Petersburg, melapor ia terpaksa menukar sasaran daripada pelaburan lebih AS$ 1 bilion (RM4.2 bilion) bagi mengeluar 350,000 unit setahun. Ketika ini, penjualan kereta keluaran GM Motor sehingga awal April menurun 40 peratus.GM bimbang jenama Opel dan Chevrolet mungkin lenyap daripada pasaran Rusia.

HayatMelihat kesan dialami sektor automobil di Eropah, Rusia, China dan Thailand menyebabkan penulis terfikir adakah Proton, pengeluar kereta nasional mampu untuk meneruskan hayatnya. Akan tetapi, penulis mendapati Proton sudah mula mengorak langkah menguatkan cengkaman pada pasaran automotif tempatan dengan trailer pengenalan model baharu Proton X90 7 tempat duduk berteras model Geely Haoyue VX11.

Artikel Berkaitan:

Penulis juga amat berharap pasca Covid-19 tidak menghentikan rancangan pembuatan kereta elektrik nasional ke-3. Ketua Pegawai Eksekutif Tesla Incorporated, Elon Musk, pencinta kereta elektrik berpengkalan di Palo Alto, California, Amerika beberapa hari lalu telah menjelaskan bilangan kereta dalam simpanan Tesla, menurun 10 peratus kerana permintaan meningkat di pasaran. Musk yakin pasaran kereta elektrik akan terus meningkat lebih tinggi dan inilah masanya Tesla meningkatkan pengeluarannya. Bloomberg online melaporkan saham Tesla melonjak kepada AS$767 (RM3,310) per saham pada akhir April.

Sektor pendidikan termasuk inovasi terbaharu sektor automatif sebenarnya telah dijelaskan ALLAH SWT sebanyak 37 kali dalam al-Quran. Antaranya Surah Al-Alaq [96:1-5] yang bermaksud: “Bacalah (Wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu Yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.”

Penulis percaya kerajaan Persekutuan perlu memberi fokus tersendiri kepada sektor pemotoran kerana Proton tidak boleh dibiarkan lenyap daripada peta permotoran dunia kerana ia mewakili aspirasi rakyat Malaysia.

* Prof Madya Dr Ir Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor