Antara virus Wuhan dan Wahn

A
A
A

AMERIKA Syarikat kini sedang bergelut. Presidennya, Donald Trump menjangkakan kematian akibat koronavirus boleh melepasi 100,000 orang. Setakat ini di Amerika Syarikat sahaja, wabak itu sudah meragut seramai 73,431 nyawa. Dengan jangkaan sebanyak 2,500 hingga 3,000 maut sehari daripada lebih sejuta yang dikesan positif, angka unjuran Trump itu tidak mustahil.

Mengikut data dan modeling Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat, jangkaan kematian akibat Covid-19 di AS itu boleh mencecah 200,000 orang sehingga Jun ini.

Dalam keadaan menggelabah itu, Trump mengistilahkan Covid-19 sebagai virus China atau virus Wuhan.

Dilema paling rumit kebanyakan negara ialah memutuskan sama ada mahu membuka semula ekonomi atau meneruskan larangan keluar rumah. Apa yang pasti, masih ramai menyimpan igauan yang menakutkan iaitu bimbang dijangkiti dan takut mati.

Selain kesan kesihatan yang mengancam nyawa manusia, ia mencetuskan krisis ekonomi dan sosial di tingkat global yang sangat parah.

Namun ada satu kesan yang jarang dibincangkan iaitu impak kerohanian. Ternyata antara virus yang digelar virus Wuhan ada satu virus digelar virus Wahn. Ada beberapa persamaan antara dua virus itu iaitu kedua-duanya merebak merentas negara, bangsa dan agama. Virus itu juga tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Kedua-duanya mencetus rasa takut yang mencengkam iaitu takut mati yang mengerikan.

Dalam konteks inilah kaum Muslimin telah diingat sekitar 1,400 tahun yang lalu mengenai virus Wahn. Apa yang dimaksud dengan wahn? Sabda Nabi: “Hampir-hampir bangsa merebutkan kalian (umat Islam), layaknya merebutkan makanan yang berada di mangkuk.” Seorang laki-laki berkata: “Apakah kami waktu itu berjumlah sedikit?” Baginda menjawab: “Bahkan jumlah kalian pada waktu itu sangat banyak, namun kalian seperti buih di genangan air. Sungguh ALLAH akan mencabut rasa takut dari dada musuh-musuh kalian kepada kalian dan akan menanamkan ke dalam hati kalian Al Wahn.” Seseorang lalu berkata: “Wahai Rasulullah, apa itu Al Wahn?” Baginda menjawab: “Cinta dunia dan takut mati.” (HR. Abu Dawud)

Bermakna virus Wahn itu menyerang jiwa dan minda sekali gus. Minda dangkal mengenai apa erti kehidupan di dunia manakala jiwa yang berpenyakit yang beranggappan seolah-olah boleh menghindari mati. Kedua-keduanya menyatu dan akibatnya runtuhlah daya tahan kaum Muslimin bila berdepan dengan sebarang cabaran seperti wabak Covid-19 ini.

Artikel Berkaitan:

Ada yang bertanya daripada kedua virus tadi iaitu virus Wuhan dan Wahn, manakah yang lebih berbahaya?

Kesan kedua-duanya sama. Jika virus Wuhan itu memberi kesan yang sangat dahsyat kerana memukul hampir semua keenakan hidup dunia, virus Wahn pula menyemai ketamakan dan kerakusan tanpa batas untuk memperlakukan apa sahaja di muka bumi ini sehingga mendatangkan kerosakan rentas sempadan.

Pokoknya virus Wahn memusnahkan jati diri Muslim manakala virus Wuhan mencetuskan krisis untuk mencari penawar merawat mangsa Covid-19.

Tetapi penghakisan jati diri Muslimlah yang bakal melesukan seluruh kekuatan umat Islam. Bila rasa takut telah ditarik dari dada musuh, maka tidak ada lagi yang dapat melindungi umat daripada dimamah oleh musuh yang beragenda untuk membaham umat Islam.

Bezanya virus Wuhan dan virus Wahn ialah kesannya yang mempunyai batas waktu yang tidak sama. Akibat paling akhir oleh virus Wuhan ialah mati di dunia. Namun kesan virus Wahn membawa sehingga ke akhirat.

Apabila virus Wahn menjangkiti kaum Muslimin, kesannya ialah umat akan hilang daya tahan. Fitnah besar akan menimpa umat Islam tatkala umat Islam diselimut dan dirantai oleh kegilaan kepada kesenangan dunia sehingga sanggup menggadai agama.

Antara mempertahankan maruah umat dan agama dengan mempertahankan kesenangan dunia, Wahn menukar jiwa Muslim supaya memilih mempertahankan dunia. Akibatnya Muslim menjadi kerdil dan diperhambakan musuh.

Bezanya virus Wuhan dan virus Wahn ialah kesannya yang mempunyai batas waktu yang tidak sama.”

**Mohd Azmi Abd Hamid ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu