Bursa Malaysia dibuka rendah

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bursa Malaysia dibuka rendah dalam dagangan awal pagi ini, dengan indeks utama merosot berbanding peningkatan semalam, susulan jualan di kaunter berkaitan indeks menjelang hujung minggu, selain penyusutan harga minyak.

Pada 9.08 pagi, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 0.29 mata kepada 1,682.68 berbanding 1,682.97 pada penutupan Khamis selepas dibuka 0.89 mata lebih rendah pada 1,682.08.

Kedudukan pasaran bagaimanapun positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 139 berbanding 82, manakala 139 kaunter tidak berubah, 1,532 tidak diniagakan dan 26 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 146.94 juta saham bernilai RM50.72 juta.

Seorang peniaga berkata berbanding prestasi bursa serantau dan Wall Street, Bursa Malaysia bergelut untuk mengekalkan keuntungannya, dengan harapan pertikaian perdagangan Amerika Syarikat dan China kembali reda.

Setiausaha Perbendaharaan AS, Steven Mnuchin dan pegawai-pegawai lain dilaporkan sanggup menarik balik beberapa atau semua tarif yang dikenakan ke atas import China serta kemungkinan lain semasa perbincangan perdagangan yang dijadualkan pada 30 Jan.

Dalam notanya, Maybank IB Research percaya FBM KLCI akan bergerak antara 1,670 dan 1,700 hari ini dengan sokongan penurunan pada 1,658 dan 1,644.

Antara saham wajaran tinggi, Maybank meningkat satu sen kepada RM9.42, Petronas Chemicals menokok enam sen kepada RM8.46, manakala Tenaga dan IHH Healthcare masing-masing tidak berubah pada RM13.60 dan RM5.70.

Artikel Berkaitan:

Public Bank susut dua sen kepada RM24.66 manakala CIMB turun satu sen kepada RM5.64.

Bagi kaunter aktif, Bumi Armada melonjak dua sen kepada 18 sen, Tatt Giap menambah setengah sen kepada 11.5 sen, manakala Sapura Energy dan Hubline susut setengan sen kepada 28.5 sen dan 5.5 sen.

Indeks FBM Emas meningkat 3.52 mata kepada 11,653.95, Indeks FBMT 100 menambah 2.66 mata kepada 11,532.82, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 3.69 mata kepada 11,578.69, dan FBM 70 menokok 22.29 mata kepada 13,775.29.

Indeks FBM Ace bagaimanapun susut 10.87 mata kepada 4,452.72.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan susut 3.33 mata kepada 17,416.34, Indeks Perladangan turun 57.2 mata kepada 7,135.22, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.48 mata kepada 162.32. - Bernama