Akad nikah di Pulau Pinang dibenar mulai esok

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

GEORGE TOWN - Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) akan membenarkan urusan akad nikah umat Islam yang sebelum ini ditangguhkan semasa langkah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bermula esok.

Pengarahnya, Zulkifli Long berkata, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) majlis akad nikah hanya boleh dijalankan di pejabat agama daerah dengan kehadiran terhad serta mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"JHEAIPP akan membenarkan akad nikah bermula esok dan untuk permulaan ia (akad nikah) untuk bakal pengantin yang dokumen serta borang mereka telah siap dan diluluskan sebelum PKP.

"Majlis akad nikah hanya akan dibuat di pejabat agama daerah sahaja, namun jika bakal pengantin dalam keadaan tidak sihat seperti demam mereka tidak dibenarkan untuk melangsungkan perkahwinan kerana kami menjaga kemaslahatan semua pihak yang terbabit dalam urusan majlis akad nikah," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Menurutnya, orang ramai yang membuat permohonan kebenaran akad nikah secara dalam talian menerusi laman sesawang JHEAIPP sepanjang tempoh PKP perlu mencetak semua borang yang diisi menerusi dalam talian untuk dikemukakan kepada pejabat agama di setiap daerah bagi tindakan selanjutnya.

Zulkifli berkata, mereka yang hadir di pejabat agama perlu mematuhi SOP iaitu memakai topeng muka, sanitasi tangan sebelum berurusan di kaunter, menjaga jarak sosial serta jumlah pengunjung dihadkan pada satu-satu masa. - Bernama

Artikel Berkaitan: