X

Kindly register in order to view this article
!

Polis periksa secara rawak di 7 lokasi lebuh raya utama

Tujuh pos kawalan ditempatkan di lebuh raya utama bagi membuat pemeriksaan secara rawak terhadap kenderaan yang melakukan pergerakan rentas negeri selama empat hari bermula hari ini. - Foto Bernama
A
A

SUBANG JAYA - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menempatkan tujuh pos kawalan di beberapa lebuh raya utama bagi membuat pemeriksaan secara rawak terhadap kenderaan yang melakukan pergerakan rentas negeri selama empat hari bermula hari ini.

Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasaan) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Superintendan Bakri Zainal Abidin berkata, pemeriksaan itu bagi memastikan pengguna lebuh raya mematuhi peraturan ditetapkan kerajaan.

“Tujuh pos kawalan terpilih ini membabitkan dua di zon utara, satu di zon selatan, dua di zon timur serta dua di zon tengah.

"Orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi jadual pergerakan ditetapkan, bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas,” katanya ketika ditemui di pangkalan Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM Subang di sini hari ini.

Terdahulu, Bakri membuat tinjauan melalui udara menggunakan helikopter di sekitar plaza tol serta lebuh raya utama ibu negara.

Dalam pada itu, menurutnya berdasarkan data yang diperoleh menerusi aplikasi Gerak Malaysia, dianggarkan 13,000 kenderaan akan melakukan pergerakan rentas negeri hari ini.

“Pemantauan dilakukan hari ini mendapati jumlah kenderaan di lebuh raya utama menghala ke tiga-tiga arah iaitu Timur, Selatan dan Utara adalah berkurangan berbanding jumlah jangkaan.

"Kami akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa, bagi memastikan aliran trafik sentiasa lancar,” katanya.

Katanya, tinjauan udara itu turut mendapati orang ramai mematuhi arahan ketika berada di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) seperti ditetapkan.

“Hanya beberapa kenderaan dilihat berhenti di kawasan R&R dan mereka mematuhi segala arahan dikenakan,” katanya.

Sehingga semalam, sebanyak 143,516 permohonan menerusi aplikasi Gerak Malaysia diluluskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk merentas negeri pulang ke kediaman masing-masing selepas terkandas berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan.

PDRM sebelum ini mengeluarkan jadual pergerakan rentas negeri selama empat hari bermula hari ini dengan Kuala Lumpur.

Ia akan diikuti dengan pergerakan pulang dari Perak, Johor dan Kelantan esok, manakala Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka dan Pahang (Sabtu) dan Selangor, Negeri Sembilan, dan Terengganu (Ahad). - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus