Kembalikan kegerunan terhadap undang-undang

A
A
A

SEJAK kebelakangan ini kita sering membaca di dada akhbar dan berita arus perdana berkaitan dengan kegiatan jenayah yang semakin berleluasa. Perbuatan jenayah sama ada yang melibatkan diri harta ataupun maruah seseorang semakin menjadi-jadi. Perkara ini amatlah membimbangkan masyarakat sehingga telah mengubah gaya hidup rakyat Malaysia.

Umpamanya kalau dahulu masyarakat Malaysia amat terkenal dengan pergaulan antara ras dalam sesuatu kejiranan tetapi kini tumpuan rakyat adalah lebih kepada aspek keselamatan sehingga menjadikan rumah yang mempunyai kemudahan ‘guarded and gated community’ mendapat permintaan tinggi. Malah kawasan yang pada asalnya tidak mempunyai kemudahan tersebut pula telah mula dibina pagar-pagar bagi mengasingkan golongan mereka.

Hal yang demikian menjadikan masyarakat seolah-olah mempunyai kastanya tersendiri dan menggugat kerancakan komunikasi antara jiran tetangga. Perkara ini belum lagi diambil kira dengan kesan dan impak laman sosial kepada masyarakat yang bukan sahaja merenggangkan hubungan antara keluarga di sesuatu kejiranan, malah intra keluarga itu sendiri turut terjejas kerana setiap ahli keluarga tunduk kepada tarikan laman sosial dan alatan telekomunikasi yang canggih.

Namun masyarakat tidak boleh dipersalahkan dalam pemilihan gaya hidup seperti ini kerana keselamatan keluarga biasanya diberikan penekanan yang amat tinggi oleh mana-mana keluarga sekalipun.

Fenomena peningkatan kadar jenayah yang mendadak ini antaranya adalah disebabkan undang-undang kini telah gagal menjadi suatu ‘senjata’ yang digeruni oleh penjenayah.

Lantaran membunuh merompak merogol dan sebagainya dilihat sebagai suatu perbuatan yang tidak ditakuti lagi kerana lemahnya penguatkuasaan undang-undang. Malah melanggar undang-undang mungkin akan menjadi norma masyarakat sekiranya gejala ini tidak dibendung dari sekarang.

Hal ini pada pandangan penulis adalah disebabkan undang-undang pencegahan sudah tidak lagi berkuat kuasa. Penjenayah tahu bahawa sekiranya mereka ditangkap mereka perlu dituduh di mahkamah dan pihak pendakwa perlu membuktikan tuduhan mereka melampaui keraguan yang munasabah.

Dalam banyak keadaan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes mereka melampaui keraguan yang munasabah apatah lagi jika penjenayah tersebut diwakili oleh peguam-peguam yang mahir selok-belok perundangan jenayah.

Artikel Berkaitan:

Oleh hal yang demikian penjenayah mempunyai peluang dibebaskan oleh mahkamah atas sebab teknikal atau sebagainya walaupun pada hakikatnya mereka melakukan jenayah tersebut. Jika dahulu pihak penguat kuasa undang-undang mempunyai kuasa menahan pihak-pihak tertentu setelah siasatan dibuat dan terdapat kebarangkalian yang munasabah seseorang itu terlibat dalam perlakuan jenayah tersebut kini kuasa sedemikian sudah pun dimansuhkan atas dakwaan penyalahgunaan kuasa dan tidak telus oleh pihak tertentu.

Pada pandangan penulis undang-undang seperti ini perlu diperbaiki dan menjadikan ia lebih telus dan adil bukan dimansuhkan. Impak pemansuhan ini telah pun kita rasai ketika ini di mana pembunuhan dengan menggunakan penembak tepat bukan lagi menjadi berita yang nadir dalam akhbar harian kita.

Di samping gerun kepada undang-undang adalah amat perlu dalam menghindar seseorang melakukan jenayah. Ketiadaan rasa gerun ini membuatkan seseorang itu tidak menghormati undang-undang berkuat kuasa. Langkah-langkah pencegahan amatlah perlu bagi mendatangkan kegerunan ini tetapi ia hendaklah tidak disalahgunakan sehingga menimbulkan tohmahan dan merendahkan integriti pihak berkuasa.

Sebenarnya mendatangkan gerun kepada undang-undang ini juga adalah pendekatan yang dianjurkan oleh Islam. Dalam Islam semua kesalahan dikategorikan kepada tiga kategori iaitu hudud, qisas dan taazir,

Hukuman hudud adalah hukuman bagi kesalahan yang tertentu yang mana hukumannya juga telah ditentukan oleh al-Quran dan al-Hadis.

Hukuman yang menggerunkan itu bukan sewenang-wenangnya dijatuhkan oleh para hakim Islam. Kadar pembuktiannya adalah jauh lebih tinggi dari kadar pembuktian di dalam undang-undang sivil. Kalau di dalam undang-undang sivil kadar pembuktiannya adalah melampaui keraguan yang munasabah tetapi untuk jenayah hudud kadarnya pula adalah melampaui sebarang keraguan.

Penulis sangat khuatir kenyataan kerajaan mahu memansuhkan hukuman mati tanpa mengambil kira kesan kepada masyarakat kelak.

Namun pendekatan Islam yang menarik sekiranya sesuatu pertuduhan hudud tidak dapat dibuktikan oleh pendakwa, penjenayah tidaklah terlepas begitu sahaja.

Penjenayah tersebut masih boleh dihukum dengan kesalahan taazir yang memerlukan pembuktian yang lebih rendah. Dalam hal ini penjenayah masih tidak dapat lari dari hukuman walaupun hukuman itu lebih rendah dari hukuman hudud.

Dalam masa yang sama, undang-undang jenayah Islam juga menitikberatkan kepentingan mangsa atau keluarga mangsa.

Jika pun penjenayah itu dihukum bunuh sekalipun ia tidak akan menghapuskan kesengsaraan mangsa ataupun keluarga mangsa. Mangsa yang telah dibunuh tidak dapat dihidupkan semula dengan hukuman terhadap penjenayah, kecederaan yang dialami mangsa juga umpamanya tidak dapat dibaik pulih dengan hukuman terhadap penjenayah itu.

Dalam hal yang demikian, konsep diyat di dalam Islam memainkan peranan sekurang-kurangnya memberi ganti rugi kepada mangsa atau keluarga mangsa agar dapat sekurang-kurangnya meneruskan kehidupan mereka selepas kehilangan orang yang mereka sayangi ataupun selepas mereka hilang upaya dari melaksanakan kerja yang lazim mereka amalkan sebelum kecederaan mereka.

Berbalik kepada undang-undang pencegahan ini, penulis berpandangan bahawa perlu diwujudkan elemen gerun terhadap undang-undang bagi mengekang gejala kadar jenayah yang semakin meningkat. Dalam masa yang sama segala tindakan pihak berkuasa perlulah lebih telus adil dalam memastikan hak orang yang dituduh itu dipelihara dan kepentingan mangsa dan keluarga mangsa diberi keutamaan.

Hak masyarakat awam secara keseluruhannya untuk hidup dalam keadaan aman dan damai juga perlulah dipertahankan oleh pihak berkuasa.

Model dan pendekatan yang telah dianjurkan oleh agama Islam perlu dikaji dan diberi penekanan di dalam membanteras jenayah di dalam negara ini. Mengarusperdanakan syariah sama ada dari segi konsep, falsafah ataupun undang-undangnya perlu diberi perhatian bagi menangani gejala jenayah yang semakin berleluasa ini.

Semoga rakyat Malaysia dapat hidup dalam aman dan damai.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar Presiden Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia