Kongsi dengan ikhlas, rezeki tidak pernah berkurang: Fizo

Wacana Sinar Khas Ramadan bertajuk Andai ini Ramadan Terakhir? menampilkan Fizo (tengah) dan Ustazah Asma' sebagai panelis serta Irma (kiri) sebagai moderator.
Wacana Sinar Khas Ramadan bertajuk Andai ini Ramadan Terakhir? menampilkan Fizo (tengah) dan Ustazah Asma' sebagai panelis serta Irma (kiri) sebagai moderator.
A
A
A

SHAH ALAM - "Setiap kali saya berkongsi rezeki dengan ikhlas, percayalah dan jujur saya katakan rezeki saya bukan sahaja tidak pernah berkurang, bahkan semakin bertambah setiap masa."

Demikian pengakuan usahawan dan pelakon popular, Fizo Omar sewaktu berkongsi tip untuk menjemput rezeki kepada lebih 2,000 pelayar Sinar Harian secara langsung hari ini.

Fizo atau nama sebenarnya Wan Hafizul Omar berkata, amalan bersedekah dan berzakat sudah menjadi amalan wajib dilakukannya seawal waktu sebelum solat subuh pada setiap hari.

Menurutnya, dua amalan utama itu dilakukan ketika kembali bangkit daripada pengalaman muflis lebih RM8 juta ditipu rakan perniagaan pada usia awal 20an.

"Ketika itu, saya sangat 'down' lalu saya jumpa dengan seorang hamba ALLAH yang mengajar saya supaya melupakan hal duniawi, sebaliknya lebih banyak bersedekah dan berzakat walaupun kita sendiri dalam kesusahan.

"Waktu paling terbaik untuk kita bersedekah adalah sebelum kita menerima sesuatu daripada orang lain dan sejak melakukan amalan itu, hidup saya sudah banyak berubah.

"Selain itu, tip terbaik untuk membuat amalan bersedekah adalah memulakan kehidupan setiap hari dengan niat bersedekah sebelum solat Subuh melalui penyediaan tabung sedekah," katanya selaku panelis Wacana Sinar Khas Ramadan bertajuk Andai Ini Ramadan Terakhir? yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian.

Wacana tersebut turut dibarisi panelis, Ustazah Asma' Haron yang juga juga seorang pendakwah dan penceramah dengan Irma Hasmie sebagai moderator.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, amalan bersedekah tidak semestinya dilaksanakan dalam bentuk pemberian duit semata-mata, sebaliknya manusia boleh bersedekah atau berzakat dalam apa jua bentuk bersesuaian.

"Bersedekah tidak semestinya diberi dalam bentuk duit. Ada yang perlu nasihat ilmu, ada yang perlukan sedekah dari segi semangat, ada perlukan seorang kawan baik untuk sokong sebarang dilakukan individu itu," katanya.

Fizo berkata, adalah merugikan bagi sesiapa yang mampu memberi sedekah atau zakat, tetapi tidak melaksanakannya.

"Bahkan golongan artis seperti saya juga boleh bersedekah, tolong bagi 'review' kepada peniaga yang memerlukan untuk membantu mempromosi produk dijual mereka.

"Ini juga satu bentuk sedekah seakan-akan memberi pancing dan bukan ikan kepada mereka yang memerlukan. Yakinlah dengan rezeki ALLAH tidak akan kurang sebaliknya semakin berganda kepada mereka yang ikhlas bersedekah dan berzakat," katanya.