Kluster baharu pengawal keselamatan di pusat beli- belah Cheras

Dr Noor Hisham (kiri) ketika sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan. -Foto Bernama
Dr Noor Hisham (kiri) ketika sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti satu lagi kluster baharu wabak koronavirus (Covid-19) iaitu pengawal keselamatan di pusat beli-belah Cheras, Kuala Lumpur.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia selepas 10 kes positif dikesan di kawasan tersebut.

"Punca jangkitan bagi kluster ini masih di dalam siasatan. Langkah- langkah pembendungan dan pencegahan seterusnya telah diambil seperti mengenalpasti dan menjalankan ujian saringan Covid-19 ke atas semua pekerja dan kontak rapat mereka.

"Kesemua kes warganegara Nepal dalam kluster ini tinggal di kediaman yang sama di Cheras.

"Saringan Covid-19 telah dijalankan ke atas penghuni kediaman mereka, pengawal dan anggota keselamatan di pusat membeli-belah tersebut, dan juga pekerja pasar raya yang berkait rapat," katanya pada sidang akhbar perkembangan kes Covid-19 di KKM di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, setakat ini, seramai 436 orang telah disaring, di mana 10 kes didapati positif, 347 kes negatif dan 79 orang masih menunggu keputusan.

Katanya, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Cheras dan Titiwangsa akan terus menjalankan pemantauan ke atas kenaikan kes Covid-19 berkaitan kluster tersebut.

"Kesemua kontak rapat setiap kes telah dipanggil untuk tujuan saringan dan pendidikan kesihatan juga telah diberikan," katanya.

Artikel Berkaitan: