X

Kindly register in order to view this article
!

Pemergian Hasenan kehilangan besar buat Pas Pahang

Allahyarham Hasenan Harun
A
A

TEMERLOH - Pemergian Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang, Hasenan Harun, 61, merupakan satu kehilangan besar buat Pas Pahang.

Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar berkata, Allahyarham seorang yang komited dalam menjalankan tugas-tugas parti.

"Pemergian Allahyarham sangat kami rasai terutama bagi Ahli Jawatankuasa Pas Pahang. Ia satu kehilangan besar buat Pas Pahang.

"Beliau sangat komited dalam menjalankan tugas dan dikenali sebagai seorang sahabat yang lemah lembut dan tutur bicara baik.

"Saya mewakili Pas Pahang merakamkan salam takziah buat seluruh ahli keluarga Allahyarham. Semoga ALLAH mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Lumpur.

Rosli Abdul Jabar
Rosli Abdul Jabar

Hasenan yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Maran meninggal dunia di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh awal pagi tadi.

Allahyarham meninggalkan isteri, Fatimah Awang Anoi dan enam orang anak.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Kampung Bukit Lada, Maran hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang meninggal dunia

Sementara itu, Ketua Penerangan Pas Pahang, Mohd Tarmizi Yahaya berkata, ahli Pas di negeri itu turut merasai kesedihan atas kehilangan pemimpin yang telah banyak menabur jasa pada parti tersebut.

"Pas Pahang menerima berita sedih di atas kehilangan Allahyarham Hasenan yang banyak pengalaman dan jasa membangunkan serta menggerakkan Pas negeri.

"Kita sangat terasa dengan kehilangan beliau. Moga diampuni segala dosa-dosanya dan ditempatkan dalam kalangan para solihin," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panching.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus