Peniaga di Melaka Sentral nikmati pengurangan sewa

Kerajaan negeri memberi diskaun sewa kepada penyewa di Kompleks Perniagaan Melaka Sentral selama tiga bulan bermula April hingga Jun ini. - Gambar hiasan
Kerajaan negeri memberi diskaun sewa kepada penyewa di Kompleks Perniagaan Melaka Sentral selama tiga bulan bermula April hingga Jun ini. - Gambar hiasan
A
A
A

MELAKA TENGAH - Kerajaan negeri bersetuju memberikan tawaran diskaun sewa kepada penyewa di Kompleks Perniagaan Melaka Sentral selama tiga bulan bermula April hingga Jun ini.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali berkata, penyewa lot kedai, gondola, gerai pameran (booth) dan tapak promosi hanya perlu membayar caj perkhidmatan bulanan sahaja untuk tempoh diskaun itu.

"Mengambil kira masalah dihadapi penyewa di Kompleks Perniagaan Melaka Sentral, kerajaan negeri bersetuju untuk memberikan tawaran diskaun sewaan itu.

"Pemberian diskaun dibuat selepas pengurusan Melaka Sentral Sdn Bhd mengambil kira kehilangan pendapatan yang dihadapi peniaga terlibat berikutan arahan penutupan perniagaan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi membendung penularan koronavirus (Covid-19)," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Sulaiman Md Ali
Sulaiman Md Ali

Menurutnya, dalam tempoh itu anak syarikat milik Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) akan menanggung bayaran sewa berkenaan yang keseluruhan berjumlah RM911,986.45.

"Kadar pengurangan sewaan yang ditetapkan pada bulan April penyewa diberikan pengecualian bayaran sewa sebanyak 100 peratus, diikuti pengurangan sewa sebanyak 50 peratus bagi Mei dan 30 peratus pengurangan sewa bagi bulan Jun.

"Kerajaan negeri berharap pemberian tawaran diskaun ini dapat membantu mengurangkan bebanan peniaga-peniaga yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19," katanya lagi dalam kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Melaka Sentral Sdn Bhd menguruskan dua bangunan utama iaitu Terminal Melaka Sentral yang menempatkan 218 lot kedai, gondola, gerai pameran dan tapak manakala medan selera menempatkan 70 lot kedai dengan jumlah keseluruhan 288 unit.