Hati-hati longgar sekatan pergerakan: WHO

Enam kriteria yang disyorkan WHO untuk dipertimbangkan negara yang berniat melonggarkan sekatan pergerakan. - Foto 123RF
Enam kriteria yang disyorkan WHO untuk dipertimbangkan negara yang berniat melonggarkan sekatan pergerakan. - Foto 123RF
A
A
A

GENEVA - Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus semalam memberi amaran langkah untuk melonggarkan sekatan pergerakan perlu dilakukan dengan sangat berhati-hati.

Beliau berkata demikian berikutan semakin banyak negara mempertimbangkan untuk melonggarkan sekatan pergerakan, lapor agensi berita Xinhua.

"Risiko untuk kembali semula kepada sekatan pergerakan sangat tinggi jika negara tidak menguruskan fasa peralihan dengan berhati-hati dan secara bertahap," katanya pada sidang akhbar dalam talian di Geneva.

Pada sidang akhbar itu beliau sekali lagi mengulangi enam kriteria yang disyorkan WHO untuk dipertimbangkan negara yang berniat melonggarkan sekatan pergerakan.

Ia termasuk penularan sudah dapat dikawal; perkhidmatan perubatan dan kesihatan awal yang secukupnya; risiko penularan di kemudahan khas seperti lokasi penjagaan jangka panjang diminimumkan; langkah pencegahan diambil di tempat kerja, sekolah dan tempat tumpuan orang ramai; risiko kes import dapat dikawal dan komuniti sudah sedar dan faham mengenai kepentingan menjaga kesihatan dan penjarakan sosial dalam tempoh peralihan ini.

Lebih 3.5 juta kes koronavirus (Covid-19) dan hampir 250,000 kematian kini dilaporkan kepada WHO dan sejak awal April kira-kira 80,000 kes baharu dicatatkan setiap hari.

"Ia bukan sekadar angka, setiap kes melibatkan ibu, ayah, anak lelaki, anak perempuan, saudara lelaki, saudara perempuan atau rakan," kata Tedros. - Bernama

Artikel Berkaitan: