Saya ketua pembangkang di Dewan Rakyat: Anwar

Anwar ketika sesi soal jawab pada program sidang langsung diadakan di Facebooknya, hari ini.
Anwar ketika sesi soal jawab pada program sidang langsung diadakan di Facebooknya, hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan beliau sekali lagi dinamakan oleh Majlis Pakatan Harapan (PH) sebagai ketua pembangkang di Dewan Rakyat akan datang.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, namanya dimaklumkan kepada speaker Dewan Rakyat dan juga kepada ahli parlimen pembangkang oleh Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifudddin Nasution.

“Saya ingat Setiausaha PH Saifuddin Nasution Ismail telah maklumkan kepada speaker, keputusan Majlis Presiden PH, yang juga diberi maklum kepada semua Ahli Parlimen Bersatu yang berpihak kepada pembangkang termasuk Warisan.

“(Keputusannya) saudara Anwar (Ibrahim) disebut sebagai ketua pembangkang yang baharu, sekali lagi,” katanya menjawab soalan daripada peserta ketika sesi soal jawab pada program sidang langsung diadakan di Facebooknya, hari ini.

Anwar sebelum ini pernah mengetuai blok pembangkang di Dewan Rakyat sebanyak dua kali selepas pilihan raya umum 2008 dan 2013.

Pengumuman Anwar itu tidak mengejutkan selepas Bersatu menarik diri daripada PH untuk membentuk kerajaan baharu di Putrajaya bersama UMNO dan Pas dengan sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta parti-parti lain di Sabah.

Pada 14 April lalu, Anwar telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya yang dilihat banyak pihak sebagai perbincangan antara ketua kerajaan dan ketua pembangkang.

Dalam pertemuan hampir 45 minit itu, mereka berbincang mengenai langkah kerajaan menangani penularan koronavirus (Covid-19), kata Anwar dalam satu kenyataan selepas pertemuan berkenaan.

Artikel Berkaitan: