100 Pemuda Umno pantau harga barang

Mohamed Nizham Abdullah Hamidi
Mohamed Nizham Abdullah Hamidi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemuda Umno Wilayah Persekutuan menggerakkan sekurang-kurangnya 100 pemuda bagi 13 kawasan Parlimen di Wilayah ini sebagai pemantau harga barang keperluan selaras dengan penubuhan sekretariat pemantauan harga barang peringkat pusat.

Ketuanya, Mohamed Nizham Abdullah Hamidi, berkata, ketua Pemuda Umno setiap bahagian akan mengetuai pasukan kawasan Parlimen masing-masing untuk turun padang menyenaraikan harga barang-barang yang ditetapkan.

Menurutnya, untuk peringkat awal, barangan seperti ayam, gula, tepung dan telur menjadi senarai tumpuan untuk dipantau.

"Pemantauan ini akan dibuat setiap dua minggu. Setiap bahagian akan dianggotai dengan kekuatan lima ke 10 pemuda bergantung kepada keluasan kawasan. Tumpuan lokasi melibatkan tiga kategori iaitu di pasar-pasar awam, pasaraya dan kedai-kedai runcit.

"Setiap bahagian akan melaporkan harga setiap barangan ini hasil pemantauan yang dibuat dan kita akan kumpulkan untuk dihantar ke peringkat pusat di samping kita juga akan meuar-uarkan hasilnya dalam media sosial untuk makluman masyarakat," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau menjelaskan mekanisme yang akan digunakan Pemuda Umno peringkat negeri susulan pengumuman Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkaitan penubuhan sekretariat yang akan diketuai Ketua Pemuda di setiap negeri.

Mengulas lanjut mengenainya, Mohamed Nizham berkata, perlaksanaan pemantauan itu akan dilakukan dengan lebih kerap menjelang sebarang musim perayaan.

"Contohnya untuk perayaan Tahun Baharu Cina, kita akan buat pemantauan pada minggu ini dan minggu depan kerana harga berubah-ubah mengikut musim perayaaan, permintaan, dan pengeluar," katanya.

Artikel Berkaitan: