Stadium, kompleks sukan dan taman rekreasi ditutup

Joging dan aktiviti bersendirian sahaja dibenarkan sepanjang fasa Strategi Pemulihan Berperingkat Pulau Pinang. Gambar kecil: Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee
Joging dan aktiviti bersendirian sahaja dibenarkan sepanjang fasa Strategi Pemulihan Berperingkat Pulau Pinang. Gambar kecil: Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee
A
A
A

GEORGETOWN - Semua stadium dan kompleks sukan di bawah kendalian Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) akan ditutup bagi kegunaan orang awam dalam fasa Strategi Pemulihan Berperingkat Pulau Pinang.

Stadium dan kompleks sukan terlibat adalah Stadium Bandaraya; Kompleks Sukan Balik Pulau; Kompleks Sukan Bandaraya Relau; Kompleks Sukan dan Rekreasi Bertam; Kompleks Sukan dan Rekreasi SONY; Kompleks Sukan dan Rekreasi Jalan Betek, Stadium Negeri Batu Kawan dan semua balai rakyat.

Semua tempahan untuk sewaan kompleks sukan, stadium dan padang awam juga tidak akan diterima.

Selain itu, taman rekreasi awam juga ditutup iaitu Taman Botani; Taman Bandaraya; Taman Metropolitan, Empangan Air Itam dan Empangan Mengkuang.

Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee berkata, semua aktiviti sukan yang boleh dilaksanakan mulai 13 Mei ini berdasarkan kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang diputuskan dalam strategi tersebut.

Menurutnya, hanya aktiviti sukan secara individu seperti joging dan aktiviti kecergasan ringan sahaja dibenarkan di padang awam seperti Padang Kota Lama dan Padang Polo.

"Aktiviti sukan berkumpulan; melibatkan sentuhan; aktiviti kumpulan; sukan yang dimainkan secara 'indoor'; sukan air; memancing secara rekreasi, sukan bermotor dan mendaki tidak dibenarkan. Antaranya bola sepak; sepak takraw; bola keranjang; bola jaring; zumba; senamrobik; taici; badminton; ping pong, gimnasium dan futsal.

"Aktiviti sukan yang dibenarkan adalah seperti badminton dan tenis yang dimainkan di kawasan terbuka, joging secara individu dengan penjarakan sosial dua meter, berbasikal secara individu dengan penjarakan sosial lima meter dan golf sahaja," katanya dalam satu kenyataan tadi.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, orang awam dibenarkan menggunakan taman kejiranan dan 'Pocket Park' secara individu pada waktu siang iaitu dari 7 pagi hingga 7 malam sahaja.

"Mereka yang menggunakan alatan senaman di taman perlu mensanitasikan tangan sebelum dan selepas penggunaan selain tidak digalakkan untuk menggunakan alatan mainan dan senaman secara beramai-ramai.

"Mereka yang tidak sihat dan mengalami gejala seperti demam, batuk dan selesema dilarang untuk mengunjungi taman rekreasi dan padang awam," katanya.

Dalam perkembangan sama, Lip Chee berkata, program latihan atlet negeri bagi Sukan Malaysia ke-20 Johor (Sukma 2020) di bawah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang akan dibenarkan secara berperingkat melibatkan dua fasa.

"Fasa pertama akan bermula pada 13 Mei dan fasa kedua akan bermula pada 1 Jun berdasarkan SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara.

"Kerajaan negeri akan membuat mengumumkan dan mengemaskini maklumat aktiviti-aktiviti sukan dengan pematuhan SOP dari masa ke masa tertakluk kepada keadaan penularan wabak Covid-19," katanya.