X

Kindly register in order to view this article
!

PPM rampas rokok seludup bernilai RM160,200

PPM Pelabuhan Klang menyerbu sebuah kawasan di Perindustrian Sungai Puloh, Kapar di sini dan merampas 1,250 karton rokok seludup bernilai RM160,200 semalam.
A
A

KLANG - Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang merampas 1,250 karton rokok seludup bernilai RM160,200 ketika menyerbu sebuah kawasan di Perindustrian Sungai Puloh, Kapar di sini semalam.

Komander PPM Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, kegiatan itu dikesan menerusi Ops Landai kira-kira jam 1 petang hasil maklumat berhubung pengedaran rokok tidak bercukai.

"Semasa pemantauan itu, pasukan serbuan telah mengesan sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux dalam keadaan mencurigakan keluar dari kawasan berpagar.

"Pasukan serbuan telah menahan Toyota Hilux itu sebelum pemandunya bertindak melompat keluar dan melarikan diri. Pasukan serbuan cuba mengejar pemandu tersebut tetapi gagal dikesan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut ke atas Toyota Hilux itu menemui sejumlah 25 kotak besar berisi 1,250 karton rokok seludup.

Katanya, pihaknya turut merampas Toyota Hilux berkenaan untuk tindakan lanjut.

"Kesemua rampasan telah dibawa ke Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang untuk tindakan lanjut di bawah Akta Kastam 1967.

"Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967," katanya.

Tegas Rosman, PPM Pelabuhan Klang sentiasa komited dalam menangani pengedaran rokok tidak bercukai di Selangor.

"Orang ramai juga digesa menyalurkan maklumat tentang kegiatan atau aktiviti menyalahi undang-undang yang berlaku di pesisiran pantai Selangor terutamanya penyeludupan rokok dan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI)," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus